KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar satu sindiket yang dipercayai menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan umrah berikutan penahanan enam individu, kelmarin.
Enam individu berusia 34 hingga 55 tahun terdiri daripada pengarah serta kakitangan enam syarikat pelancongan berkenaan ditahan dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.
Perkembangan itu menyusul kira-kira dua minggu selepas BH mendedahkan sekurang-kurangnya lima agensi umrah didakwa membolot tiket penerbangan ke Tanah Suci sebelum menjualnya semula pada harga lebih tinggi dan dipercayai antara sebab utama kenaikan mendadak kos ibadat itu kebelakangan ini.
Sumber memberitahu, sindiket mengenakan bayaran RM50 hingga RM250 kepada agensi umrah untuk setiap kuota tiket sebagai dorongan bagi memastikan agensi terbabit mendapat tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.
Katanya lagi, sindiket itu dipercayai sudah menjalankan kegiatan berkenaan sejak 2018 dan setakat ini, dipercayai 216,000 tiket sudah diagihkan dengan bayaran rasuah keseluruhan dianggarkan sekurang-kurangnya RM10.8 juta.
"Satu daripada syarikat ini dilantik oleh sebuah syarikat penerbangan antarabangsa sebagai ejen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk setiap penerbangan mengerjakan umrah. Ini menyebabkan wujud sindiket memonopoli kuota tiket dan menjual tiket pada harga yang tinggi.
"Agensi pengendali umrah terpaksa membayar kos tambahan berbentuk rasuah ini bagi memastikan jemaah mereka mendapat tempat duduk penerbangan. Ini antara faktor mengapa harga tiket penerbangan umrah tinggi," katanya semalam. – BeritaHarian