KUALA LUMPUR – Dalam satu tindakan yang dilihat terdesak pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan bagi membenarkan pengeluaran bersasar sekali lagi dana kerajaan itu.
Sehingga pukul 6 petang tadi hampir 2,000 pencarum menggunakan ruangan komen di Facebook Istana Negara untuk menyampaikan mesej kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Mereka memohon supaya Seri Paduka dapat melakukan sesuatu supaya pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar dibenarkan oleh kerajaan.
Pencarum berkenaan merayu agar pengeluaran KWSP dapat dilakukan sebelum penggal persekolahan 2023 dibuka bulan depan.
“Ampun tuanku. Mohon campur tangan dalam hal kelulusan #KWSPBERSASAR #PENGELUARANKECEMASAN dengar segera kerana rakyat sedang mengemis di negara sendiri tuanku,” kata Miza Sa’adun.
“Assalamualaikum. Ampun tuanku sembah patik harap diampun. Di sini patik mengambil peluang ini bagi menzahirkan suara-suara rakyat tuanku yang kini dalam kesusahan. Kami rakyat betul-betul susah tidak tahu lagi bagaimana untuk bercerita. Rakyat tuanku amat-amat memerlukan pertolongan dari tuanku. Tolong Kami tuanku,” rayu Norianda Majid.
“Ampun tuanku mohon nasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar luluskan #kwspbersasar #pengeluarankecemasan buat kali terakhir untuk kelangsungan hidup kami hamba rakyat tuanku,” mohon Ina Azlyena.
“Bantulah kami tuanku terbeban dengan hutang sana sini,” kata Azhar Kayla pula.
Pada Jumaat lalu, tiga pertubuhan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhimpun di Bangunan Perdana Putra memohon supaya pengeluaran KWSP dibenarkan.
Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir mendakwa, telah menerima aduan seramai 320,000 pencarum KWSP yang terkesan dengan situasi ekonomi ketika ini. – MalaysiaGazette