Jika Dibenarkan Pengeluaran KWSP Akan Undang Masalah - Rafizi

PELUANG KERJAYA
0
Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan

PUTRAJAYA: Pengeluaran sekali lagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat bakal mengundang masalah kepada jaringan keselamatan sosial pencarum di usia tua.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, jika pengeluaran dibenarkan sama ada bersasar atau sebaliknya, ia boleh diibaratkan seperti mengambil 'panadol', yang mana masalah mungkin selesai pada usia 30 hingga 40 tahun, tetapi sebenarnya ia seperti menggali 'lubang' pada usia 50, 55 dan 60 tahun.


Katanya, kerajaan boleh menjadi popular dengan membenarkan pengeluaran KWSP namun, kesan sampingannya akan menjadi kesan panjang kepada pencarum dan ekonomi negara.


"Itu pendirian kita sekarang. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan bahawa rakyat ada jaringan keselamatan sosial yang baik," katanya bagi mengulas mengenai pendirian kerajaan berkenaan desakan sesetengah pihak yang mahukan pengeluaran sekali lagi caruman KWSP.


Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Rafizi berpandangan adalah lebih baik kerajaan membangunkan dasar berbentuk makro yang dapat membantu dari segi kenaikan gaji pekerja dan menangani kos sara hidup.


Beliau yakin jika ekonomi diurus dengan baik dan sumber kewangan negara dialihkan secara bersasar kepada kumpulan memerlukan, ia boleh mengurangkan beban rakyat.


Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan wang simpanan KWSP dikeluarkan lagi bagi menjamin masa depan persaraan pencarum.


Sebaliknya, Anwar berkata, kerajaan sedang mencari mekanisme lain tanpa memberi impak terhadap pencarum ketika bersara nanti.


Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Moh Yunus berkata, perbelanjaan pengguna dijangka kembali normal tahun ini meskipun tanpa kemudahan pengeluaran khas KWSP.


Beliau berkata, berdasarkan data suku keempat 2022, aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.


KWSP sebelum ini mendedahkan pengeluaran RM145 bilion oleh 8.1 juta ahlinya menerusi empat siri kemudahan pengeluaran ketika pandemik COVID-19 menyebabkan pengurus dana persaraan itu 'terlepas' peluang mengembangkan aktiviti pelaburannya.


Empat kemudahan pengeluaran KWSP yang dibenarkan kepada pencarum dalam tempoh pandemik ialah i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.


Pengeluaran yang dilakukan bagi membantu pencarum mendepani situasi luar biasa dalam meringankan beban kewangan itu bagaimanapun tidak memberi kesan ketara terhadap portfolio pelaburan pengurus dana persaraan itu. – BeritaHarian

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !