Terjemahkan Amanat PM Dengan Tindakan Tegas Banteras Rasuah - TI-M


Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kepentingan membanteras rasuah, wajib diterjemahkan dengan pelaksanaan dan tindakan tegas oleh agensi penguat kuasa yang berkaitan rasuah dan integriti serta akauntabiliti perkhidmatan awam.


Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, penegasan Perdana Menteri itu memberi mesej yang jelas kepada agensi penguat kuasa termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan itu mereka perlu menahan perasuah atau sesiapa saja yang terbabit gejala itu, tanpa perasaan takut atau pilih kasih.


Menurutnya, TI-M mengalu-alukan amanat Anwar yang menekankan tentang keperluan mendesak untuk menangani rasuah di negara ini, termasuk untuk mendapatkan semula wang yang dicuri, serta mengamalkan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran kerajaan.


"Kami juga turut mengalu-alukan jaminan Anwar bahawa pentadbirannya tidak akan campur tangan dalam proses siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dalam perutusan tahun baharu 2023, semalam, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan tindakan segelintir penjawat awam yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.


Perdana Menteri dipetik berkata, walaupun ada perubahan, masih ada sekelompok kecil kakitangan kerajaan masih mencuba untuk mengutip habuan dan 'hadiah' besar.


Mengulas lanjut, TI-M menggesa semua pihak memainkan peranan dalam memerangi rasuah dengan melaporkannya kepada SPRM jika ada penjawat awam meminta rasuah ataupun menyalahgunakan kuasa mereka.


"Mereka yang menyalahgunakan kedudukan perlu ditangani dengan tegas, dan sebaik-baiknya dikeluarkan daripada sistem sebagai satu permulaan yang baik.


"TI-M berharap amanat Anwar itu diterjemahkan dengan tindakan tegas yang boleh membuahkan hasil diinginkan, termasuk akauntabiliti lebih baik dalam sektor perkhidmatan awam, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan pulangan daripada perbelanjaan awam," katanya.


Dalam jangka panjang, menurutnya, tindakan tegas kerajaan itu akan memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia, dengan menambah baik daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI).


"Bagi TI-M, penekanan Anwar juga tepat pada masanya, memandangkan markah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya. -- BeritaHarian