Sokong Perkenal Semula GST


KERAJAAN dicadang untuk  memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) namun pada kadar serendah mungkin serta meliputi semua barangan dan perkhidmatan tanpa pengecualian termasuk harga minyak runcit, kata penganalisis.


Ia adalah dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil, sekali gus akan mengukuhkan kembali kedudukan kewangan negara bagi menghadapi ketidaktentuan global.


Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, langkah berkenaan boleh membuatkan kos pengendalian GST mudah dan murah, sekali gus membenarkan kadar cukai kepenggunaan itu diperkenalkan hanya antara 2% hingga 3% sebagai permulaan.


"Kaedah ini juga turut digunakan Singapura apabila GST mereka perkenalkan pada 1994 yang bermula pada kadar 3% dan kemudian dinaikkan secara beransur-ansur kepada 4% pada 2003; 5% (2004); 7% (2007) dan akhirnya 8% (2023).


"Ini berbeza daripada Indonesia apabila mengekalkan kadar GST pada 10% sejak 1984. Ia hanya dinaikkan kepada 11 peratus pada April tahun lalu dan mungkin dinaikkan kepada 12% pada 2025 kelak. Secara umumnya, kadar GST yang terlalu tinggi ada keburukan juga," katanya kepada BH.


Mengulas lanjut, Firdaos turut berkata, isu mengenai pengenalan GST ini bermula sejak 1980-an dan cukai itu bukan sistem yang boleh diketepikan begitu sahaja oleh kerajaan, sebaliknya perlu diguna pakai dan diperhalusi dari semasa ke semasa.


"Jika tidak, posisi fiskal kerajaan akan jauh ketinggalan daripada perkembangan ekonomi negara.


"Ada beberapa kita perlukan GST. Antaranya, hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun sejak 1992 daripada 26.2 peratus ke 15.1 peratus pada 2021.


"Pertumbuhan hasil kerajaan pada asas tahun ke tahun menunjukkan arah aliran negatif dalam kebanyakan tempoh dekad yang lalu walaupun GST diperkenalkan pada 1 April 2015.


"Hutang kerajaan berbanding KDNK meningkat sejak krisis kewangan dunia 2008 dan lebih tinggi lagi disebabkan Covid-19," katanya.


Selain itu, beliau menjelaskan caj perkhidmatan hutang atau kos pengeluaran bon kerajaan sudah melepasi tahap pentadbiran sebanyak 15 peratus pada 2020, sekali gus menunjukkan pertumbuhan hasil kerajaan yang lemah.


"Perbelanjaan kerajaan semakin meningkat dengan kadar subsidi turut bertambah, malah mungkin mencecah RM71 bilion tahun lalu yang akan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.


"Secara umumnya, tanpa aliran hasil kerajaan yang mampan, autonomi fiskal dan monetari kita akan terhakis tanpa kita sedari, sekali gus mengurangkan keupayaan kerajaan untuk mentadbir secara berkesan pada masa hadapan," katanya.


Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak pula berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan dengan serius pengenalan semula GST 2.0 pada kadar empat peratus.


Katanya, sifat dan mekanisme GST dapat membantu kerajaan mengutip hasil cukai, khususnya dalam sektor ekonomi tidak formal. -- HarianMetro