"Saya Melihat Fail Banyak Keterlanjuran Di Kementerian Kewangan.."


PUTRAJAYA: Pegawai dan kakitangan awam wajib menegur sebarang keputusan dibuat Menteri termasuk Perdana Menteri, jika ia didapati melanggar peraturan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pegawai yang melaksanakan arahan yang mengandungi perkara yang disifatkan sebagai keterlanjuran tidak boleh dipersalahkan dek kerana ia diminitkan oleh menteri menyebabkan mereka mematuhinya.


"Saya tekankan penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan, melihat banyak fail banyak keterlanjuran.


"Nak salahkan pegawai kalau minit daripada menteri apatah lagi Perdana Menteri dia patuh.


"Tetapi saya sudah beri arahan jelas kalau ada minit daripada Perdana Menteri sendiri pun kalau dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, sekurang-kurangnya saya dimaklumkan terlebih dahulu. Apa lagi kalau dalam kalangan pegawai di pejabat saya, pejabat Timbalan Perdana Menteri (dan) pejabat Menteri," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, hari ini.


Anwar berkata, langkah pertama diambilnya apabila menjadi Perdana Menteri ialah dengan mengarah semua Menterinya melantik Ketua Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan dalam kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), berbeza dengan amalan sebelum ini.


Beliau berkata, ia supaya akan ada penyelarasan yang baik. -- BeritaHarian