Salur Terus Bantuan RM150 Ke Akaun Bank Murid


PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pendidikan iaitu, Datuk Dr. Radzi Jidin telah mencadangkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) agar dimasukkan terus ke dalam akaun bank murid supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.


Radzi dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya berkata, perkara itu adalah supaya mengelakkan kejadian samun berulang selain meningkatkan produktiviti.


“Ibu bapa juga tidak perlu datang untuk beratur di sekolah dan guru pula tidak perlu untuk menguruskan pemberian bantuan di sekolah.


“Selain itu, pembayaran terus ke akaun murid juga akan memastikan tatacara pengurusan kewangan yang teratur dan selamat,” katanya.


Menurutnya, langkah itu sekali gus dapat mengelakkan agar kejadian kehilangan tunai seperti yang berlaku semalam tidak berulang lagi.


Bagaimanapun, katanya, sekiranya pembayaran tunai perlu dibuat, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mestilah segera dipatuhi oleh Ketua Jabatan mengikut Arahan Perbendaharaan (AP) 137 – Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan. -- Kosmo