Penyokong Malaysia Adalah 'Juara' Piala AFF


PIALA Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), kejohanan yang dianggap sebagai Piala Dunia rantau Asia Tenggara, berakhir Isnin lalu dengan Thailand muncul juara buat kali ketujuh, satu lakaran rekod mengagumkan memandangkan mereka menyapu separuh kejuaraan daripada 14 edisi kejohanan itu.


Pasukan bergelar Gajah Perang itu, yang mendapat khidmat pakar taktikal Brazil-Jerman, Alexandre Polking mengatasi juara dua kali Vietnam 3-2 menerusi agregat selepas seri 2-2 di Hanoi dan menang 1-0 pada aksi timbal balik di laman sendiri.


Bagaimanapun di sebalik semua kehebatan Thailand dan Polking, Malaysia yang terkandas di separuh akhir selepas tewas di tangan negara jiran sebelah utara itu, mempunyai alasan juga untuk berbangga.


Stadium Nasional di Bukit Jalil, dengan kapasiti 87,411 tampil sebagai jaguh sebenar dari segi kehadiran penonton apabila 65,147 orang membanjiri gelanggang menyaksikan pertembungan jiran tetangga Seberang Tambak dengan Singapura pada 3 Januari lalu ketika anak buah Kim Pan Gon mempamerkan bisa membenam lawan 4-1 bagi memastikan tempat ke separuh akhir.


Jika tidak kerana konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou yang mengehadkan tempat duduk kepada sekitar 60,000 sahaja, jumlah itu mungkin lebih besar lagi kerana jelas nyata penyokong bola sepak Malaysia yang dahagakan kejayaan sanggup berkorban turun padang untuk memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Harimau Malaya.


Disebabkan konsert itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya mampu menjual 59,000 keping tiket perlawanan bagi aksi separuh akhir pertama menentang Thailand pada 7 Januari lalu tetapi kehadiran penonton pada aksi itu tetap membanggakan kerana ia yang kedua terbanyak pada edisi kali ini dengan 62,989.


Setiap pasukan pada kejohanan kali ini diberi peluang bermain di laman sendiri dua kali pada peringkat kumpulan dan Malaysia membelasah Laos 5-0 pada 24 Disember lalu dengan dihadiri 29,961 penonton. Ini bermakna bagi tiga perlawanan di Bukit Jalil, ia merekodkan purata 52,699 penonton satu perlawanan, satu catatan menakjubkan.


Stadium Nasional juga pernah mencatat kehadiran hampir 100,000 penonton apabila 98,543 menyaksikan Harimau Malaya membenam Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF 2010 dalam laluan bergelar juara ASEAN buat julung kali di bawah kendalian jurulatih legenda Datuk K Rajagobal.


Pasukan Garuda menang 2-1 pada aksi final kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta di depan 88,000 penonton tetapi gagal menafikan kemenangan Malaysia 4-2 secara agregat.


Selain itu, Stadium Nasional, yang digeruni Thailand kerana mereka tidak pernah menang di gelanggang itu bertemu Malaysia dalam lima perlawanan setakat ini, turut mencatat tiga jumlah penonton membanggakan pada edisi Piala AFF 2018.


Pada perlawanan akhir pertama menentang Vietnam, 88,482 penonton menyaksikan Malaysia dan pasukan lawan seri 2-2, separuh akhir pertama menentang Thailand seramai 87,545 manakala aksi peringkat kumpulan bertemu Myanmar 83,777.


Gelora Bung Karno, yang pernah mempunyai kapasiti 110,000 tetapi kini dikurangkan kepada 77,193, difahamkan memegang rekod terbanyak penonton pada Piala AFF apabila Indonesia berdepan Thailand pada final 2002 dengan kehadiran lebih 100,000 penonton.


Bagaimanapun tiada angka rasmi ditemui mengenai jumlah penonton sebenar perlawanan itu.


Bagi kejohanan kali ini, ketika mereka menewaskan Kemboja pada 23 Disember lalu, hanya 25,332 hadir di Gelora Bung Karno manakala aksi kedua menentang Thailand menyaksikan 49,985 dan aksi separuh akhir pertama menentang Vietnam di gelanggang sama, seramai 49,595 penonton memenuhi stadium.


Jelas konsert artis luar negara menjejaskan sedikit kemeriahan Piala AFF kali ini dengan Thailand dan Singapura turut terkesan kerana stadium utama mereka, Stadium Rajamangala dan Stadium Nasional Kallang digunakan bagi tujuan itu.


Thailand terpaksa menggunakan Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani, kira-kira 45 kilometer dari Bangkok. Stadium itu hanya mempunyai kapasiti 25,000 penonton manakala Singapura menggunakan Stadium Jalan Besar yang hanya boleh memuatkan 6,000 penonton.


Jadi tidak hairan, hanya 19,306 menyaksikan Theerathon Bunmathan menyumbat gol kemenangan Gajah Perang pada babak pertama final kedua bagi memastikan kejuaraan ketujuh mereka. Pada separuh akhir kedua menentang Malaysia, angka rasmi adalah 18,927, manakala bagi pertemuan dengan Filipina dan Kemboja di peringkat kumpulan, jumlah penonton masing-masing 6,567 dan 8,415.


Selain layak ke separuh akhir, Malaysia juga meraih anugerah Fair Play kejohanan itu, kali keempat diterima selepas Piala AFF edisi 2000, 2012 dan 2018. -- BeritaHarian