Pengeluaran KWSP: Ramai Yang Bising Masa Saya Jadi Pm, Tapi Sekarang Senyap


Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menepis dakwaan pihak yang sebelum ini mendesak pentadbirannya untuk membenarkan pengeluaran kali keempat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pada tahun lalu. 


Mengulas kepada pemberita pada majlis Tahun Baru Cina MCA di Kuala Lumpur hari ini, menurut Ismail sekarang suara mereka tidak lagi kedengaran, di saat orang ramai sekali lagi menggesa perkara sama.


"Kerajaan perlu ambil tindakan segera terhadap aduan rakyat. Semalam selepas saya bersenam, seorang makcik datang mengadu, minta kalau boleh mereka (dibenarkan) keluarkan (simpanan dalam) KWSP.


"Dulu ketika saya (mentadbir negara), ramai yang bising bila kita buat kajian sama ada boleh keluarkan (atau) tidak. Akhirnya kita benarkan.


"Ramai yang bising dulu. Saya harap rakyat bersuara (lagi) kali ini. Mana-mana yang kuat bersuara waktu saya jadi perdana menteri dulu, silakan bersuara lagi," katanya.


Ismail dipercayai merujuk beberapa ahli politik yang sebelum ini mendesak kerajaan pimpinannya supaya membenarkan pencarum KWSP untuk mengeluarkan simpanan mereka.


Antara ahli politik tersebut ialah Anwar Ibrahim yang kini menjadi perdana menteri dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.


Sementara itu, ditanya jika dia menjangkakan keadaan dalam BN akan lebih tenang tahun ini, Ismail berkata gabungan itu sentiasa dalam keadaan tenang.


“Sudah tentu kami tenang sekarang. Memang kita pun tenang sekarang, tak ada masalah. BN ada masalah kah?" katanya. -- MalaysiaKini