Pengeluaran KWSP, Kerajaan Akan Cari Jalan Lain - PM


KANGAR, Kerajaan bercadang mencari alternatif lain untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup daripada membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 


Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu kerana baki simpanan majoriti pencarum adalah sangat kecil.


Katanya lagi, simpanan tersebut lebih penting untuk kegunaan masa depan mereka atau keperluan lain yang lebih mendesak.


"Saya bimbang masa depan mereka, jadi lebih baik kita (kerajaan) cari jalan untuk bantu mereka," katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam di Negeri Perlis di Dewan 2020 di sini pada Isnin.


Pada Ahad, media telah melaporkan Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) meminta agar kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang KWSP sebanyak RM30,000.


Presidennya, Khairul Anuar Othman berkata, pengeluaran secara one-off antara RM10,000 hingga RM30,000 adalah sebagai langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.


Tambah beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum KWSP yang mahu pengeluaran dibenarkan sekali lagi. -- SinarHarian