Malaysia Baham Singapura 4-1 Mara Ke Separuh Akhir


Harimau Malaya berjaya mengalahkan Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, pada Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Kejayaan tersebut sekali gus telah melayakkan pasukan negara mara ke separuh akhir kejohanan itu.


Skuad kendalian Kim Pan-gon yang turun dalam misi wajib menang, permulaan yang garang pada separuh masa pertama perlawanan dengan mendominasi permainan, juga membuat beberapa percubaan berbahaya namun tidak menghasilkan sebarang gol.


Gol pembukaan berjaya dihadirkan pada minit ke-35 apabila Darren Lok menanduk kemas hantaran lintang Safawi Rasid, menewaskan penjaga gol Singapura Hassan Sunny, sekali gus menggegarkan seluruh stadium dengan jeritan para penyokong.


Enggan selesa, separuh masa kedua pula Harimau Malaya merancang serangan bertali arus, dan gol kedua hadir pada minit ke-51 menerusi Stuart Wilkin yang merembat deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Hassan.


Wilkin sekali lagi menghadiahkan gol ketiga untuk Harimau Malaya dengan merembat masuk hantaran Safawi pada minit ke-54.


Singapura yang tidak ingin mengalah akhirnya memperoleh gol pertama menerusi Faris Ramli pada minit ke-85.


Pasukan negara akan berdepan Thailand di peringkat separuh akhir yang diadakan secara timbal balik pada 7 dan 10 Januari ini.


Satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan juara kumpulan B, Vietnam yang akan berhadapan naib juara kumpulan A, Indonesia.