KKM Perkenal Inisiatif 'Label Ubat Mesra OKU Penglihatan' Yang Dicetak Dalam Braille


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan inisiatif baharu iaitu 'Label Ubat Mesra OKU Penglihatan' yang dicetak dalam tulisan Braille.


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata usaha itu bagi memudahkan orang kurang upaya (OKU) Penglihatan mendapat maklumat yang bukan sahaja cepat tetapi tepat mengenai ubat dan preskripsi ke atasnya.


"Golongan OKU sentiasa menjadi kumpulan keutamaan bagi KKM. Kita sentiasa memikirkan kaedah baharu bagi memudahkan dan membantu rakan-rakan OKU dalam mencapai perkhidmatan kesihatan yang terbaik.


"Buat permulaan, inisiatif ini akan dilaksanakan di 250 klinik kesihatan di seluruh negara yang akan memanfaatkan seramai 55,000 OKU Penglihatan," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM, hari ini.


Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni; Ketua Setiausaha, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Dr Zaliha berkata, menerusi inisiatif itu label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU Penglihatan akan mempunyai tulisan Braille.


"Ia bagi menjelaskan cara pengambilan atau dos ubat (misalnya dua biji ubat, tiga kali sehari).


"Selain itu label ini turut mempunyai indikasi ubat yang menerangkan kegunaan ubat (contoh demam, batuk atau selesema," katanya.


Beliau berkata, Malaysia antara negara terawal di Asia yang memperkenalkan label ubat yang mesra OKU penglihatan.


"Langkah ini selaras dengan matlamat di bawah Malaysian Patient Safety Goals 2.0 - Medication Safety: Medication without Harm.


"Tahniah kepada Program Perkhidmatan Farmasi atas usaha proaktif dan prihatin dalam memenuhi keperluan OKU penglihatan," katanya. -- BeritaHarian