Kerajaan Sabah Beri Bantuan Khas Kewangan Setengah Bulan Gaji Atau Minimum RM1,000 Kepada Penjawat Awam.

Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan


Kerajaan Sabah bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada lebih 20,000 penjawat awam negeri itu.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bayaran itu akan dibayar dua kali yang mana pertama pada Januari 2023 manakala bayaran kedua pada April 2023.


Tegasnya, bantuan khas ini diharap dapat meringankan beban rakyat termasuk persiapan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina.


"Selain daripada itu, Bantuan Khas sebanyak RM500.00 untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan juga akan diberikan dan dibayar pada bulan April 2023.


"Dengan pemberian insentif ini saya berharap agar para penjawat awam dapat berusaha dengan cekap dan lebih gigih lagi bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Jumaat.


Sementara itu, sejumlah RM12.83 Juta telah diperuntukkan kepada semua kementerian dan jabatan untuk Program Pembangunan Sumber Manusia.


Tambah Hajiji, sebanyak RM7.5 Juta pula diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai-pegawai kerajaan di dalam dan di luar negeri.