'Kenapa malu jadi badut? Asalkan kerja halal' - Naim AF6


KUALA LUMPUR: Beliau yang pernah bergelar peserta program realiti Akademi Fantasia musim 6, Naim atau nama sebenarnya beliau Muhammad Shauqi Naaim Salmi mengakui tidak segan untuk memilih kerjaya sebagai ‘ba-dut’ di acara keramaian.


Naim ketika dihubungi Astro AWANI menyatakan, meskipun memiliki kerjaya tetap, namun minatnya yang mendalam untuk menghiburkan orang ramai tetap kuat sehingga kini.


“jika dulu saya dilatih untuk hiburkan peminat di pentas nyanyian, kini saya berpindah pula untuk hiburkan kanak-kanak.


“bila ditanya tak segan ke jadi badut, kenapa pula nak malu? Saya mencari rezeki yang halal untuk isteri dan anak-anak.


“Tahun ini masuk tahun ke 2 saya mengambil tempahan sebagai badut di acara yang melibatkan ramai orang termasuk golongan kenamaan, orang dewasa mahupun kanak-kanak. Jujur saya katakan walaupun saya berpanas dalam kostum, solekan tebal dan perlukan pakai wig, semuanya berbaloi bila melihat orang ramai seronok,” katanya bersyukur.


Jelas Naim berusia 35 tahun, dia mempelajari teknik persembahan sebagai badut separuh masa itu melalui pembacaan di internet dan Youtube.


“untuk hiburkan kanak-kanak perlu ada seninya juga. Bukan sahaja jadi penyanyi perlu tahu tahu skill. Nak buat orang ketawa itu lagi susah dari buat orang sedih.


“oleh itu saya banyak belajar dari internet. Alhamdulillah sang isteri banyak beri sokongan malahan idea untuk menyediakan perkhidmatan sebagai badut juga datang dari isteri, Nor Aida Nazira Mahamad Pauzzi,” katanya yang sudah 9 tahun berkahwin.


Naim kerap menerima undangan untuk menghiburkan orang ramai dari seluruh Malaysia.


Bapa dua anak ini kini menetap di Alor Setar, Kedah turut sama berkongsi pesanan kepada anak muda di luar sana untuk mencuba sesuatu yang di luar kotak. -- AstroAwani