Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan dana RM2 juta bantu mangsa banjir


PASIR PUTEH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan dana RM2 juta bagi membantu ahli koperasi yang terjejas banjir baru-baru ini.


Timbalan Menteri, Saraswathy Kandasami, berkata pihaknya sedang merekodkan ahli koperasi yang menjadi mangsa banjir membabitkan negeri yang dilanda bencana itu seperti Kelantan dan Terengganu.


"Setakat ini kita belum ada rekod berapa ramai atau jumlah kerugian yang ditanggung cuma bantuan RM2 juta ini adalah dibuat menerusi tabung khas bencana untuk ahli koperasi.


"Bantuan ini diharap dapat memulihkan kembali perniagaan mereka yang terjejas," katanya ketika ditemui menyampaikan sumbangan makanan asas kepada penduduk di Kampung Dalam Rhu, di sini, hari ini.


Yang turut hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Kelantan, Zainudin Mohamed.


Saraswathy berkata, setakat ini sebanyak 15,000 koperasi berdaftar direkodkan dengan keahlian tujuh juta.


Terdahulu beliau yang juga Naib Presiden PKR menyampaikan bantuan makanan asas kepada 600 mangsa banjir di Kampung Dalam Rhu dan Kuala Besut, Terengganu.


Katanya, keseluruhan sumbangan membabitkan RM155,000 bagi keperluan seperti beras, minyak dan gula. -- BeritaHarian