Harga Sawit Dijangka RM3,800-RM4,200 Hingga Jun 2023


Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengunjurkan harga minyak sawit didagangkan antara RM3,800 hingga RM4,200 satu tan bagi tempoh sehingga suku kedua 2023.


Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid, berkata ia adalah susulan pengeluaran minyak sawit dijangkakan pulih sedikit tahun depan.


Beliau berkata, permintaan lebih tinggi terhadap minyak sawit, turun naik harga minyak mentah Brent dan ketegangan geopolitik kekal sebagai faktor dalam menentukan arah pergerakan harga.


Katanya, sejak beberapa minggu lalu, harga minyak sawit mula dilihat berada dalam aliran menaik berikutan ringgit yang lebih lemah dan kebimbangan berhubung bekalan akibat banjir di Indonesia dan Malaysia.


Ini katanya akan memastikan harga minyak sawit kekal tinggi dan bertahan di antara RM4,000 dengan RM4,400 satu tan sehingga Disember 2022.


"Bagi jangka sederhana, krisis Russia dan Ukraine yang berterusan akan tetap menjadi satu faktor dan pertumbuhan bekalan minyak sawit berkemungkinan mendatar tinggi tahun depan.


"Harga berkemungkinan kekal di antara RM3,900 dengan RM4,300 satu tan sehingga Mac 2023," katanya selepas pembentangan di Seminar Internet Minyak Sawit (POINTERS) hari ini.


Wan Aishah berkata, dari segi stok minyak sawit, ia ketika ini berada dalam aliran berkurangan dari Disember 2021 hingga April 2022.


Beliau berkata, ia akan menyebabkan harga lebih tinggi direkodkan kerana paras stok mempunyai hubungan songsang dengan harga.


Bagaimanapun katanya, sejak Mei 2022, paras stok telah meningkat dan harga pula susut.


Pada September 2022 katanya, stok minyak sawit tempatan melebihi 2.3 juta tan, paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan dan harga minyak sawit terus susut kepada paras terendah sejak Jun 2021.


Sementara itu, pengeluaran minyak sawit tempatan katanya dijangka berkurangan bagi tahun ketiga pada 2022 kerana kekurangan pekerja di ladang terus menjejaskan penuaian di Malaysia.


"MPOC mengunjurkan pengeluaran MSM di Malaysia pada 2022 mencecah 18.08 juta tan.


"Namun, sebagai pengeluar terbesar dunia, Indonesia akan mencatatkan sedikit peningkatan pengeluaran minyak sawit disumbangkan terutama oleh kawasan tanaman kelapa sawit yang baru matang,"katanya.


Wan Aishah berkata, pengeluaran minyak sawit di Indonesia dinjurkan mencapai 46.6 juta tan.


Beliau berkata, musim hujan ketika ini dijangka mengakibatkan banjir yang akan mengurangkan lagi pengeluaran di kedua-dua negara.


Wan Aishah berkata, unjuran pengeluaran minyak sawit global pada 2022 ialah 77.2 juta tan manakala penggunaan pada 76.8 juta tan.


Beliau berkata, minyak sawit masih akan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dunia dalam bekalan minyak dan lemak.


POINTERS, seminar menerusi web anjuran MPOC, mengetengahkan tema 'Mitigating The Next Wave Of Market Uncertainties' (Meredakan Gelombang Ketidaktentuan Pasaran Akan Datang) bagi edisi kali ini.


Sebanyak lapan pembentangan akan dilakukan merangkumi topik antaranya kepentingan minyak sawit dalam situasi minyak makan yang tidak menentu, prestasi industri minyak sawit, pendekatan untuk mengatasi cabaran minyak sawit global serta hab minyak sawit untuk Afrika Timur.


Seminar empat hari itu berakhir pada 18 November 2022. -- BeritaHarian