Dua Beregu Negara Teruskan Kemaraan Ke Peringkat Separuh Akhir Terbuka India


NEW DELHI: Cabaran skuad badminton negara terus menyala apabila sandaran utama dalam acara beregu berjaya mengenepikan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Dewan Tertutup K.D Jadhav, New Delhi sebentar tadi.


Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan dan M.Thinaah kembali memperagakan aksi sebenar mereka apabila tidak menghadapi masalah untuk menewaskan lawan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang merupakan naib juara Kejohanan Asia tahun lalu.


Pearly-Thinaah tampilkan ketenangan untuk mengawal permainan, dan akhirnya selepas bertarung selama 44 minit, mereka memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-13, 21-13.


Gandingan negara itu akan membuat perhitungan antara pemenang perlawanan membabitkan beregu Thailand, Benyapa dan Nuntakarn Aimsaard ataupun pilihan kedua kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun.


Aksi dalam acara beregu lelaki pula menyaksikan pertemuan sesama Malaysia, antara Juara Dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.


Bagaimanapun perang saudara itu akhirnya memihak kepada Aaron dan Wooi Yik dengan kemenangan 21-17, 21-11.


Mereka mungkin akan bertemu sama ada pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel ataupun beregu No. 1 Dunia, Fajar Alfian-Rian Ardianto di peringkat separuh akhir esok. -- UtusanMalaysia