Data Terbuka Jamin Ketelusan Kerajaan Melalui Platform OpenDOSM


PUTRAJAYA: Portal OpenDOSM NextGen yang diperkenal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mengetengahkan konsep data terbuka dapat menjadi ketelusan dasar dan meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada kerajaan yang bertanggungjawab.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, portal berkenaan juga dilihat menjadi menjadi penambahbaikan kepada perkongsian data terbuka yang memberi kesan menyeluruh kepada rakyat dan penggubal dasar dalam melaksanakan pelbagai analisis dan rujukan.


Katanya, menerusi portal OpenDOSM NextGen, ia membantu kerajaan mewujudkan inovasi ekosistem penyampaian perkhidmatan responsif bagi memenuhi kehendak rakyat.


"Menerusi kaedah data terbuka kerajaan, maklumat yang berkaitan dengan aktiviti kerajaan seperti perbelanjaan atau kontrak, boleh diakses oleh orang ramai. Ini membolehkan semak dan imbang yang lebih baik dan advokasi dasar yang lebih efektif serta memastikan pegawai awam lebih bertanggungjawab.


"Hal ini seterusnya dapat menjamin ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan kerajaan dalam mentadbir negara," katanya ketika merasmikan pelancaran OpenDOSM NextGen di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.


Mengulas lanjut, Rafizi berkata, data terbuka membolehkan masyarakat memanfaatkan semua sumber data secara kolektif dalam menjana pengetahuan baharu.


Katanya, data terperinci, tepat pada masanya dan berkualiti adalah sumber yang amat berharga untuk tujuan penyelidikan sama ada penyelidikan asas dan gunaan.


"Melalui platform data terbuka, penyelidik boleh menjimatkan masa dan kos dengan menggunakan data terbuka sedia ada dan bukannya menerusi sumber primer mereka sendiri untuk menjalankan penyelidikan.


"Data terbuka juga boleh memudahkan kerjasama dan penemuan yang lebih besar dalam kalangan penyelidik di pelbagai institusi," katanya.


Beliau menjelaskan, memandangkan data terbuka kerajaan adalah memfokuskan mengenai kerjasama, agenda berkenaan tidak berakhir dengan kerajaan berkongsi maklumat sahaja.


"Kerajaan juga perlu secara aktif mendapatkan maklum balas bukan sahaja berkenaan dengan dasar data terbuka kerajaan tetapi juga bidang dasar lain yang diperjuangkan oleh orang ramai berdasarkan data yang disediakan untuk umum," katanya.


Rafizi berkata, Portal OpenDOSM NextGen adalah antara inisiatif Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi meningkatkan penyampaian data yang tepat terkini dan relevan.


"Ini adalah selaras dengan usaha DOSM untuk memacu transformasi data dan juga satu platform bersepadu bagi tujuan meluaskan, memudahkan dan menggalakkan pengguna mengakses data yang dikeluarkan oleh DOSM dan agensi kerajaan lain sebagai mekanisme mereka," katanya. -- BeritaHarian