Dana KWSP Tidak Akan Terjejas Sekiranya Pengeluaran Bersasar Dilaksanakan

Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan terjejas sekiranya permintaan pengeluaran khas dipenuhi, oleh kerana, berjuta caruman akan masuk setiap bulan dalam tabungan agensi terbabit.


Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) dan Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) iaitu pertubuhan bukan kerajaan yang sebelum ini mendesak pengeluaran KWSP, mempunyai sebab kukuh atas permohonan untuk kerajaan meluluskan pengeluaran kali ini.


Presiden 4PM, Rosland Mohd Arif, berkata pengeluaran itu seharusnya dibenarkan berikutan ia membabitkan simpanan milik pencarum sendiri dan mereka sedar tabungan masa depan susut.


Katanya, dengan kesempitan hidup mungkin ada antara pencarum tidak sempat menikmati persaraan hari tua, memandangkan pada masa sekarang jumlah yang terkesan semakin ramai, ada yang diisytihar bankrap dan mengakhirinya dengan bunuh diri.


"Apabila KWSP mengatakan RM145 bilion sudah dikeluarkan dalam tempoh pandemik, pada kami itu hanya satu angka kerana pelbagai penyelesaian dana diseleweng, negara kita masih lagi berduit, tiada kakitangan tidak bergaji atau sebagainya.


"Justeru mengapa KWSP sukar membenarkan pengeluaran sedangkan berjuta pencarum terus melabur dalam dana persaraan itu dan kenapa terus mempertikai soal pengeluaran (saki baki simpanan), sedangkan mereka benar-benar memerlukannya," katanya kepada BH, hari ini.


BH hari ini melaporkan KWSP menjelaskan sebanyak RM145 bilion pengeluaran dibuat 8.1 juta ahlinya dalam tempoh tiga tahun secara berperingkat menyebabkan pengurus dana persaraan itu 'terlepas' peluang mengembangkan aktiviti pelaburannya.


Namun demikian, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, dilaporkan berkata pengeluaran RM145 bilion berkenaan tidak memberi kesan ketara terhadap portfolio pelaburan pengurus dana persaraan itu.


Ini kerana katanya, prestasi pelaburan KWSP dan pemberian dividen lebih dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku dalam pasaran global dan domestik, yang mana masih kekal mencabar dan tidak menentu.


Berikutan empat siri pengeluaran sebelum ini, beberapa pihak terus mendesak kerajaan agar membenarkan pengeluaran simpanan KWSP antara RM10,000 hingga RM30,000 secara 'one-off' bagi meringankan kos sara hidup rakyat.


Mengulas lanjut, Presiden 4PM Rosland berkata, penjelasan yang diberikan KWSP yang tidak mahu membenarkan pengeluaran menunjukkan agensi itu seolah-olah ada kepentingan tersembunyi, mengecewakan kerana tuntutan itu dibuat mengeluarkan simpanan pencarum sendiri.


"Dengan penjelasan itu, KWSP seolah-olah tidak melihat realiti yang terjadi seperti rakyat menderita, tiada beras, hilang pekerjaan dan hanya menggunakan apa yang difikirkan tanpa meletakkan diri dalam situasi sebenar.


Lagipun ia bukan dana kerajaan, mahu menunggu hari tua (untuk mengeluarkannya), mungkin tidak sampai usia itu kerana mereka meninggal dunia, ditimpa musibah, kita tidak tahu.


Mengapa mahu melabur sedangkan pencarum merayu-rayu, kerajaan membutakan hati dan pekakkan telinga, sepatutnya dana persaraan itu ada 'reserved', orang boleh keluarkan jika keadaan benar-benar mendesak," katanya.


Orang Melayu paling ramai menanggung keperitan namun harapan yang diharapkan dikecewakan begitu sahaja dan rakyat terus ditakut-takutkan, mereka tiada dana persaraan hari tua.


"Justeru jika tidak mahu membenarkan pengeluaran, kerajaan perlu mengeluarkan dana hingga beri dana RM1,000 kepada pencarum memerlukan atau menaikkan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 kepada sekurang-kurangnya RM800 atau RM1,000 sebulan.


"Selain itu banyak lagi dana boleh dicairkan, hasil cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti kerajaan luar seperti United Kingdom, Australia yang bantu rakyatnya mengatasi isu kelangsungan hidup," katanya.


Sementara itu, Presiden Prorakyat, Khairul Anuar Othman, berkata KWSP diharap mengkaji semula keperluan pencarum yang menangani cabaran kos hidup selepas pandemik COVID-19.


Majoriti pencarum terkesan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun serta mereka yang mempunyai caruman KWSP berikutan mereka ini sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup atas faktor usia, penyakit kronik, kos kehidupan di bandar selain mempunyai tanggungan hutang lama dan baharu.


Mereka terpaksa menambah hutang seharusnya diberi keutamaan pengeluaran RM10,000 hingga RM30,000, kerana ia adalah permintaan daripada pencarum dalam kajian dan cerakin Prorakyat baru-baru ini.


Dalam pada itu, katanya, pihaknya mencadangkan pengeluaran khas itu diluluskan berdasarkan beberapa syarat dan mengikut kaedah sama seperti dilaksanakan kerajaan sebelum ini.


Kaedah atau formula ini telah sedia guna serta memudahkan pencarum membuat keputusan serta tidak melanggar akta KWSP, seperti mempunyai caruman yang lebih banyak daripada jumlah ingin dikeluarkan.


Tuntutan ini juga harus diberi kepada pencarum mempunyai dana tabungan di akaun satu dan tidak perlu menunggu umur mereka mencapai 55 tahun. Demi keadilan kepada semua pencarum tuntutan ini perlu dibuka kepada golongan T20, M40 dan wajib kepada B40.


Tuntutan pengeluaran RM10,000 hingga RM30,000 'one off' tidak akan mengganggu pelaburan KWSP dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta diberikan masa untuk mempertimbangkan pengeluaran khas KWSP.


"Kami berharap Kerajaan Perpaduan dan Malaysia Madani berhasil mencari satu formula dan resolusi terbaik bagaimana caruman KWSP boleh diluluskan.


"Besar harapan pencarum supaya tabungan itu boleh dikeluarkan selepas pembayaran dividen selewat-lewatnya pada Mac atau sebelum Ramadan atau Aidilfitri," katanya. -- BeritaHarian