“Bohonglah kalau saya kata tidak kecewa" Yusof Haslam mengenang Syamsul dan Puteri Sarah


PENGARAH dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam gagal menahan air mata apabila mengenang nasib rumah tangga anaknya, Syamsul Yusof yang sedang bergolak ketika ini.


Menerusi temu bual Melodi, Yusof Haslam telah meluahkan isi hatinya sebagai seorang bapa selain berasa kecewa melihat tindakan Syamsul yang tidak bertanggungjawab kepada isterinya, Puteri Sarah.


Malah, dia mengakui isterinya, Datin Patimah Ismail turut terkesan dengan tindakan pengarah filem Munafik itu memandangkan dirinya juga seorang ibu.


“Bohonglah kalau saya kata tidak kecewa. Tapi perasaan saya mungkin tidak sama dengan Datin (Patimah Ismail) sebagai seorang ibu.


“Datin sedih dan berasa sedikit marah, tapi saya sentiasa pesan untuk mendoakan yang terbaik.


“Saya harap Syamsul akan berikan penjelasan yang jelas sejelasnya dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Syamsul harus jalankan tanggungjawab sebagai suami dengan baik,” ujarnya.


Menyifatkan sebuah kehidupan sebagai satu perjuangan, Yusof Haslam dalam masa sama menasihati Syamsul agar menjadi suami yang mempunyai sifat tolak ansur dan perasaan sayang kepada isteri serta anak-anak.


“Sesuatu yang dah berlaku tidak boleh patah balik, harus terima qada dan qadar. Saya sebagai seorang ayah, mendoakan yang terbaik.


“Kehidupan ini bukan satu perkara yang mudah, hidup ini satu perjuangan. Perjuangan untuk pertahankan rumah tangga, pertahankan isteri dan jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.


“Suami harus jaga perasaan isteri dan begitu juga sebaliknya. Sebagai manusia kita ada sifat tidak sempurna, isteri dan suami masing-masing tidak sempurna. Kalau ada kesalahan, selesaikan.


“Kalau ada perasaan tanggungjawab, tolak ansur dan sayang kepada isteri serta anak-anak, Insya-Allah rumah tangga akan kekal. Itu sahaja pesanan saya untuk Syamsul. Apa yang saya luahkan hanyalah ingin melihat kebahagian anak dan cucu,” tambahnya.


Terdahulu, Syamsul Yusof pada Jumaat lalu mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan telah selamat bernikah dengan wanita yang didakwa menjadi individu ketiga dalam rumah tangganya bersama Puteri Sarah iaitu Ira Kazar. -- AstroAwani