Bantuan Awal Persekolahan RM150 Diagihkan Isnin Ini


Seramai tiga juta murid yang memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima daripada kalangan keluarga dengan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 seorang Isnin ini.  


Dalam konteks ini, murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak untuk menerima bantuan berkenaan.


Sementara itu, bagi murid Tahun Satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai.


Pembayaran BAP itu akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.


Sekiranya pemberian dibuat secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.


Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat ketika pembentangan Belanjawan 2022 berkata, bantuan itu memperuntukkan sejumlah RM450 juta. – KOSMO! ONLINE