Baki Akaun Pencarum Mencukupi Ada Harapan Untuk Pengeluaran Bersasar, Ini Sebabnya

PELUANG KERJAYA
0

KUALA LUMPUR: Kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai hasrat untuk membuat pengeluaran akaun itu sekali lagi secara bersasar, sebenarnya mempunyai baki akaun mencukupi untuk membuat pengeluaran.


Ia berdasarkan kajian yang dijalankan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), mereka mendapati 79.6% daripada 136,137 pencarum KWSP memiliki baki Akaun 1 lebih dari RM10,000, manakala selebihnya kurang RM10,000.


Menurut Presidennya, Azmi Mohd Tahir, kajian itu telah dijalankan selama 12 hari bermula 20 Disember lalu, bagi menyediakan data sokongan tambahan untuk tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.


"Daripada kaji selidik ini, nyatanya pencarum KWSP yang terdesak memerlukan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar ini, mempunyai jumlah baki yang mencukupi untuk membuat pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sebelum ini, PGIRM dilaporkan telah membawa suara 270,000 pencarum yang memohon kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.


Permohonan daripada pencarum itu diterima melalui borang online dari Julai hingga November yang lalu, antara sebabnya adalah desakan hidup yang sukar akibat inflasi, pengurangan pendapatan yang tidak seimbang dan tunggakan hutang pasca pandemik COVID-19.


Azmi berkata lagi, laporan yang kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur pada Januari 2023, sudah pasti akan memberi kesan lebih teruk terhadap rakyat.


"PGIRM percaya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cakna dan prihatin terhadap suara serta kesusahan rakyat.


"Justeru, kami berharap diberi peluang bertemu Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar ini, dalam masa terdekat.


"Rakyat khususnya pencarum, sudah teruk terhimpit dengan kesusahan. Malah, terdapat segelintir daripada mereka yang sudah dan bercadang mengambil 'jalan pintas' untuk menyelesaikan masalah," katanya. -- BeritaHarian

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !