Anggota Polis Bakal Dijauhkan Hukuman Akibat Benar Rakan Pegang Senjata Api



Polis sedang menjalankan siasatan berikutan tindakan seorang dari anggotanya yang membenarkan rakannya yang juga orang awam dilihat  memegang dan bergambar dengan senjata api.


Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, pihak mereka mengesan gambar yang menampakkan anggota berpakaian seragam polis dengan seorang orang awam itu tular di media sosial Twitter menerusi satu akaun yang bernama @evvok.


Menurutnya, siasatan awal telah mendapati anggota polis yang bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya, manakala lelaki yang memegang senjata api jenis HK-MP5 itu pula adalah rakannya.


"Gambar berkenaan telah diambil oleh seorang lagi orang awam jam 2.43 pada pagi semalam di hadapan balai polis berkenaan.


"Ketika gambar berikut diambil, anggota polis itu sedang bertugas di Pos Pengawal Balai Polis berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Sohaimi turut berkata, tujuan gambar itu diambil adalah untuk kenang-kenangan, namun ia turut dimuat naik ke media sosial sehingga tular.


Mohd Sohaimi juga memberitahu, tindakan anggota polis itu yang membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah sebuah kesalahan yang melanggar tatakelakuan.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan di Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.


"Jika didapati bersalah Anggota terbabit akan dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," jelasnya.