Ahmad Maslan Kemuka 7 Langkah Kurangkan Hutang Yang Kini Cecah 1.5 Trilion


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengemukakan tujuh langkah untuk mengurangkan hutang negara yang telah mencecah hampir RM1.5 trilion.


Menurut beliau, langkah pertama adalah dengan menambah pendapatan kerajaan, diikuti dengan mengurangkan ketirisan seperti rasuah.


"Ketiga, mengetatkan penguatkuasaan seperti menghapuskan penyeludupan dan keempat, dengan mengurangkan ekonomi gelap.


"Kelima, meningkatkan pendigitalan ekonomi, diikuti mengelakkan segala bentuk pembaziran dan terakhir adalah subsidi perlu bersasar," katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.


Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan setiap langkah yang dikemukakan olehnya dalam capaian terbabit.


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa hutang negara termasuk liabiliti kini sudah mencecah hampir RM1.5 trilion dan usaha menanganinya adalah wajar disegerakan.


Menurut Perdana Menteri, kedudukan hutang negara terkini sudah mencecah melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Ia turut memberi kesan apabila bajet defisit akan lebih melebar daripada jangkaan awal, iaitu 5.8 peratus daripada KDNK untuk 2022. -- BeritaHarian