Ada Pelanggaran SOP Ketika Kes Rompakan Duit Bantuan Awal Persekolahan RM109,000


IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan telah berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam proses pengambilan wang tunai dari bank yang dilakukan seorang guru besar sebuah sekolah di Beranang yang menjadi mangsa samun di Pekan Semenyih, semalam.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, "SOP kewangan telah dilanggar sedangkan kita ada SOP yang cukup ketat iaitu jika membawa wang lebih dari RM10,000 mestilah ada pengiring, inikan pula satu jumlah yang cukup besar (RM109,000 yang hilang)," katanya


Menurutnya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan yang dianggap serius.


laporan penuh siasatan daripada polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sedang ditunggu bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.


Sama ada kes berkenaan boleh dianggap sebagai kelalaian, beliau berkata ketika ini masih awal untuk disimpulkan selagi laporan penuh belum diterima pihaknya.


"Kita kena tunggu laporan daripada JPN Selangor secara keseluruhannya, saya tak boleh nak simpulkan selagi tak dapat laporan penuh JPN serta polis," katanya.


Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilapor berkata, pihaknya tidak mendapat permohonan pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun berkenaan. -- HarianMetro