9 Perjanjian Kerjasama Malaysia Indonesia Bernilai Lebih RM1.6 Bilion Dimeterai


JAKARTA: Sembilan perjanjian persefahaman dan kerjasama dimeterai merangkumi pelbagai aspek perniagaan dengan potensi nilai RM1.66 bilion, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia, bermula hari ini.


Perjanjian pertama membabitkan kerjasama antara ASIC Offshore & Marine Sdn Bhd serta PT Dok dan Perkapalan Kodja Bahari yang meliputi bahagian pasaran kejuruteraan; pembinaan dan pembaikan kapal; pelaburan kewangan bagi instrumen dan kemudahan pengeluaran; kejuruteraan darat dan luar pesisir; prafabrikasi; perniagaan pembinaan kapal dan pembaikan kapal daripada syarikat perkapalan dalam wilayah Indonesia.


Perjanjian persefahaman (MoU) terbabit dijangka membabitkan nilai melebihi RM500 juta untuk tempoh dua tahun.


MoU kedua membabitkan sinergi antara Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) dan Lembaga Pembiayaan Ekspor Indonesia (Indonesia Eximbank).


Meskipun tiada anggaran nilai kerjasama antara dua institusi kewangan itu, ia dijangka mengukuhkan kerjasama dalam perniagaan membabitkan pertukaran maklumat, pengalaman dan hubungan perniagaan.


Skop kerjasama antara dua bank itu akan dirunding dan dipersetujui bawah perjanjian dimuktamadkan secara berasingan.


Satu Memorandum Kerjasama (MoC) antara FGV Holdings Berhad (FGV) dan PT Perkebunan Nusantara Indonesia (PTPN) turut dibentuk bersempena lawatan Anwar ke Indonesia.


Tujuan MoC itu adalah untuk meningkatkan nilai tambah kedua-dua syarikat dan/atau anak syarikat/unit perniagaan serta syarikat sekutu, selain memberi perhatian kepada beberapa aspek seperti prinsip tadbir urus korporat yang baik, kesan positif terhadap alam sekitar dan sosial kepada pihak berkaitan dan membabitkan peruntukan undang-undang serta peraturan yang terpakai.


Bagi meneroka potensi pasaran bateri kenderaan elektrik (EV), Citaglobal Berhad dan Indonesia Battery Corporation akan menjalinkan kerjasama bagi membangunkan kilang pembuatan dan sistem penyimpanan bateri.


Kerjasama antara kedua entiti itu tidak terhad kepada membangun, mereka bentuk dan membina kemudahan pembuatan turnkey bersepadu untuk sel bateri, modul dan pek, malah membangunkan penyelesaian bersepadu BESS dan memindahkan teknologi berkaitan serta pengetahuan bagi pembangunan kilang bateri dan BESS.


Lawatan Perdana Menteri yang diiringi delegasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Luar turut menyaksikan AWC Bhd dan PT GKM (Kek Maloy) dan PT Wing Indonesia menjalinkan MoU untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Maloy bagi menyokong pembangunan ibu kota baharu Indonesia, yang terletak di Nusantara, Kalimantan Timur di Kepulauan Borneo.


Kerjasama itu memberi tumpuan kepada meneroka penggunaan tenaga hijau, projek tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar di Indonesia bagi memulakan hala tuju ke arah ekonomi yang mampan.


AWC Berhad juga memeterai perjanjian dengan PT Bintang Timur Investama bagi mewujudkan kerjasama dan mengambil bahagian dalam penerokaan projek tenaga hijau dan sumber boleh diperbaharui di Malaysia.


Dalam satu lagi kolaborasi, Perjanjian Kerjasama antara AIROD Sdn Bhd dan PT Dirgantara Indonesia turut terbentuk di mana kedua-dua syarikat menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam kerja berkaitan pembaikan, penggantian Kota Sayap Tengah, latihan dan bantuan teknikal bagi projek pemodenan Lockheed Martin C-130.


Nilai potensi bagi projek pemodenan bertempoh lima tahun itu dianggarkan AS$150 juta (RM659.7 juta).


SIRIM Berhad, Badan Riset dan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Republik Indonesia juga menjalinkan kerjasama untuk kepentingan bersama dalam menggalakkan pemupukan pembangunan sains dan teknologi menerusi semangat kesaksamaan dan faedah bersama.


Pihak berkaitan akan menggalakkan hubungan langsung dan kerjasama antara pasukan penyelidik dan penyelidik saintifik individu.


Selain itu, kerjasama antara Penjana Kapital Sdn Bhd, Indies Capital Partners dan AC Ventures bagi meneroka peluang pelaburan bersama dalam entiti 'growth companies' melalui dana sedia ada dan bakal dilancarkan dengan nilai pelaburan bersama RM500 juta. -- BeritaHarian