Sekolah Akan Agihkan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Mulai 12 Januari


Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada semua murid yang telah diumumkan kerajaan, Selasa lalu, akan disalurkan seawal 12 Januari akan datang.


Kementerian Pendidikan (KPM) telah memaklumkan, peruntukan BAP itu dikreditkan ke akaun setiap sekolah dan ia akan diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.


Katanya, sekolah diminta untuk mengagihkan wang itu kepada murid sebaik sahaja menerima peruntukan tersebut.


"Tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi oleh murid atau ibu bapa sebelum menerima BAP.


"KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus. Segala penjelasan lanjut berkaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM," kata KPM menerusi ciapan di Twitter, hari ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat 


Memaklumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.


Beliau berkata, langkah itu penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain memberi perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.


Dalam pada itu, menjawab soalan murid mana yang layak menerima BAP 2023, KPM memaklumkan, bantuan berkenaan akan diberikan kepada pelajar yang memenuhi kriteria seperti warganegara Malaysia dan murid Tahun Satu sehingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya bagi sesi Persekolahan 2023/2024.


Kriteria lain adalah mereka pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama, Sekolah Swasta Persendirian yang berdaftar dengan kerajaan, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney. -- BeritaHarian