Peruntukan Hampir RM56 Bilion, Anwar Dijangka Bentang Bajet Mini

PELUANG KERJAYA
0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan bajet mini, membabitkan peruntukan berjumlah hampir RM56 bilion.


Perkara itu terkandung dalam urusan kesembilan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat, yang akan berlangsung selama dua hari, bermula esok.


Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat itu, wang berjumlah RM55,959,213,200 dicadang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi 2023 untuk perbelanjaan segera, sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan.


Pada 24 November lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan akan membentang rang undang-undang (RUU) belanjawan mini pada 19 Disember bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.


Katanya, kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.


Selepas kelulusan RUU mini itu katanya, kerajaan dijangka membentangkan belanjawan susulan yang menyeluruh, kira-kira sebulan selepas sidang Parlimen berkenaan.


Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.


Bagaimanapun, bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.


Susulan pembubaran Parlimen, Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat secepat mungkin, bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan diluluskan. - BeritaHarian

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !