PUTRAJAYA: Jabatan kerajaan diarah merangka serta membangun wahana atau kaedah bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan kaya dan konglomerat ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata mengambil contoh subsidi elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna yang mana 50 peratus daripada subsidi untuk kemudahan itu dinikmati oleh 10 peratus atau 1 juta pengguna yang terdiri daripada kumpulan konglomerat.
"(Justeru), jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana (saluran) yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan (dasar) ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada 27 November lalu, Anwar mengarahkan NACCOL mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu.
Beliau dilaporkan berkata subsidi yang ditanggung kerajaan pada masa ini antaranya subsidi elektrik, dinikmati semua golongan walaupun ia sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan rakyat miskin.
Anwar berkata, pada Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikannya pagi ini, sebanyak tiga kertas dibentangkan, mengupas isu, tantangan (cabaran) dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi. - BeritaHarian