Mungkin ramai yang terlepas pandang, terdapat sebanyak 17 Pengeluaran Khas KWSP yang dibenarkan untuk pencarum yang berkelayakan.
Untuk pengetahuan anda, KWSP membenarkan pengeluaran sebahagian atau penuh dari simpanan untuk memenuhi keperluan tertentu berhubung kait dengan persaraan selari dengan polisi KWSP sedia ada.
Terdapat 17 jenis pengeluaran, yang mana anda boleh keluarkan sebahagian sebelum pengeluaran penuh pada 55 tahun bagi memudahkan ahli KWSP untuk membuat persediaan bagi menghadapi persaraan yang lebih terjamin.
Berikut kami kongsikan 17 Pengeluaran Khas KWSP melalui Akaun 1 dan Akaun 2 yang dibenarkan.
1. Pengeluaran Untuk Pendidikan
Pencarum KWSP boleh membuat pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membantu membiayai pendidikan sendiri atau anak-anak di pusat pendidikan dalam dan luar negara yang diluluskan.
Wang yang boleh dikeluarkan bergantung kepada jumlah yuran pengajian / baki pinjaman pendidikan ATAU kesemua simpanan dalam Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah). Itu termasuklah yuran hostel dan penginapan serta penerbangan sehala untuk pelajar tahun pertama yang belajar di luar kawasan/luar negara.
Syarat-syarat:
Berumur 55 tahun ke bawah
Mempunyai simpanan dalam Akaun 2
Masih meneruskan atau telah menamatkan – pengajian peringkat diploma atau setaraf
Sedang belajar dalam Institusi Dalam Negara (sepenuh masa, separuh masa, program jarak jauh dan francais) ATAU Institusi Luar Negara (sepenuh masa)
Ahli/ Anak ahli yang berhenti/ gagal/ tidak tamat/ tarik diri dari pengajian dibenarkan
2. Pengeluaran Pembelian Rumah
Pihak KWSP memberi kemudahan untuk membantu ahlinya memiliki rumah pertama sendiri sama ada melalui pembinaan rumah sendiri, membeli rumah subsale, rumah lelong, atau beli melalui Permohonan Rumah Mesra Rakyat 2022.
Syarat-syarat:
Umur bawah 55
Mempunyai sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2
Membeli rumah kediaman (iaitu jenis banglo / teres /berkembar /apartmen /kondominium /apartmen studio /apartmen servis /townhouse /SOHO atau rumah kedai dengan unit kediaman di Malaysia)
Pinjaman yang diluluskan dari pemberi pinjaman yang dibenarkan
Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan / Telah membuat pengeluaran untuk membeli rumah tetapi telah menjualnya/melupuskan pemilikan
3. Pengeluaran Umur 50 Tahun
Apabila mencapai umur 50 tahun, anda boleh membuat sekali sahaja pengeluaran sebahagian ataupun kesemua simpanan Akaun 2 untuk digunakan sebagai persediaan untuk persaraan anda.
Syarat-syarat:
Berumur di antara 50 hingga sebelum mencapai umur 55 tahun
Mempunyai simpanan dalam Akaun 2
Boleh membuat sekali sahaja pengeluaran sebahagian ataupun kesemua simpanan Akaun 2
4. Pengeluaran Untuk Bina Rumah
Syarat-syarat;
Umur bawah 55
Mempunyai sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2
Ahli/pasangan ahli membeli tanah dan membina sebuah rumah di atas tanah tersebut
Pinjaman yang diluluskan dari pemberi pinjaman yang dibenarkan ATAU pembiayaan sendiri
Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan/ Telah membuat pengeluaran untuk membeli rumah tetapi telah menjualnya/melupuskan pemilikan
Surat Perjanjian Membina Rumah tidak melebihi tiga (3) tahun dari tarikh permohonan diterima.
5. Mengurangkan Atau Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
Anda juga boleh membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi mengurang/menyelesaikan baki pinjaman perumahan atau memberi bantuan pembiayaan kepada pasangan anda.
Syarat-syarat:
Umur bawah 55 tahun
Mempunyai sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2
Telah membeli/membina rumah kediaman*
Ahli telah didaftarkan sebagai pemilik rumah tersebut
Rumah kediaman telah dicaj sebagai cagaran
Ahli masih mempunyai baki pinjaman perumahan daripada institusi yang dibenarkan
Permohonan di buat setahun sekali daripada tarikh permohonan yang sebelumnya
Pinjaman yang diluluskan oleh institusi yang dibenarkan
6. Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Bagi membantu meringankan beban pemilik rumah, KWSP telah memperkenalkan Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.
Anda boleh membuat pengeluaran KWSP dari Akaun 2 untuk membantu membayar ansuran bulanan sekurang-kurangnya enam bulan atau sehingga masalah kewangan anda selesai.
Syarat-syarat:
Umur bawah 55 tahun
Sekurang-kurangnya RM600 di dalam Akaun 2
Membeli/membina sebuah rumah kediaman
Masih mempunyai tunggakan pinjaman perumahan dengan pemberi pinjaman yang diiktiraf oleh KWSP
Ansuran bulanan telah bermula
7. Perumahan Fleksibel
Anda boleh menggunakan simpanan KWSP kini dan masa depan untuk menguatkan lagi had kelayakan bagi mendapatkan pinjaman perumahan dari institusi kewangan.
Apakah Perumahan Fleksibel?
Sebahagian dari simpanan di dalam Akaun 2 akan diketepikan untuk Akaun Pinjaman Perumahan Fleksibel.
Semasa penilaian kelayakan pinjaman dibuat, institusi kewangan akan mengira caruman bulanan KWSP anda sebagai sebahagian dari pendapatan.
Kelayakan pinjaman yang lebih tinggi membolehkan anda membeli rumah idaman.
Syarat-syarat:
Umur bawah 54 tahun
Membeli/Membina rumah kediaman
Ada pinjaman perumahan dengan institusi kewangan yang diiktiraf KWSP
8. Perumahan PR1MA
Ahli KWSP di alu-alukan untuk menggunakan simpanan semasa dan juga simpanan kemudian hari demi mendapatkan rumah PR1MA pertama anda.
9. Pengeluaran KWSP Untuk Haji
Ahli beragama Islam yang merancang untuk mengerjakan ibadat haji boleh menggunakan simpanan Akaun 2 sebagai tambahan kepada simpanan di Lembaga Tabung Haji (LTH) sebagai perbelanjaan.
Syarat-syarat:
Umur bawah 55 tahun
Dipilih untuk melakukan ibadat haji oleh LTH
Tidak pernah memohon pengeluaran haji
Simpanan di LTH tidak mencukupi
10. Pengeluaran Untuk Kesihatan
KWSP juga membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membiayai kos perubatan penyakit kritikal dan peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan untuk:
Diri sendiri
Ibu bapa anda (kandung, angkat, tiri, mentua)
Pasangan anda
Adik-beradik anda (kandung)
Anak-anak (kandung, angkat, tiri)
Syarat-syarat:
Berumur 55 tahun ke bawah
Mempunyai simpanan dalam Akaun 2
Kos perubatan tidak dibiayai sepenuhnya oleh majikan
Penyakit/ Peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh KWSP
Tidak mendapat rawatan alternatif
TERKINI :
Melalui Bajet 2020 tempoh hari, KWSP juga dijangka akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).
11. Simpanan Melebihi 1 Juta
KWSP juga memberi kelonggaran kepada ahli yang mempunyai simpanan lebih dari RM1 juta ringgit untuk membuat pengeluaran dan mengurus sendiri lebihan simpanan.
12. Hilang Upaya
Pengeluaran untuk pencarum yang Hilang Upaya membolehkan anda mengeluarkan semua simpanan KWSP jika keadaan keupayaan fizikal atau mental anda terjejas sehingga tidak membolehkan anda untuk bekerja.
Bagi ahli yang layak juga, mereka akan menerima RM5,000 sebagai Bantuan Hilang Upaya untuk meringankan beban anda.
Syarat-syarat:
Bawah umur 55 tahun
Ada simpanan di dalam KWSP
Tidak Bekerja
Disahkan oleh pegawai perubatan, telah hilang upaya fizikal atau mental
Mesti dinilai oleh Lembaga Perubatan KWSP.
Temujanji penilaian oleh Lembaga Perubatan KWSP akan ditetapkan ketika penyerahan permohonan di kaunter
13. Pengeluaran Untuk Meninggalkan Negara
Pencarum yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia untuk berhijrah ke negara lain; atau ekspatriat; penduduk tetap (PR); atau pekerja asing yang kembali ke negara asal, boleh memilih untuk mengeluaran kesemua simpanannya mereka di KWSP.
14. Meninggal Dunia
Sekiranya ahli meninggal dunia, pengeluaran KWSP ahli tersebut boleh menjadi jaminan kepada orang-orang tersayang, ianya juga akan dapat membantu meringankan beban kewangan serta menampung perbelanjaan pengurusan pengebumian.
Oleh itu, pastikan anda sudah membuat penamaan bagi membolehkan waris terdekat anda mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang masalah.
Ahli keluarga yang di bawah tanggungan anda juga akan dipertimbangkan untuk menerima satu Bantuan Kematian bagi membantu mereka dalam waktu kesulitan.
15. Pekerja Berpencen / Persaraan Pilihan
Pekerja sektor awam juga boleh membuat pengeluaran sekali sahaja sebelum umur 55 tahun setelah diberikan taraf Pekerja Berpencen.
Syarat-syarat:
Umur bawah 55 tahun
Pekerja dalam sektor awam / Kementerian Pertahanan / Perkhidmatan Tentera dan mencarum dalam KWSP
Diberi taraf berpencen oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
*Definisi pekerja berpencen ialah pekerja yang telah diletakan dalam jawatan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, yang menjelaskan pengambilan pekerja di dalam perjawatan berpencen oleh Kerajaan Malaysia ataupun Kerajaan Negeri atau badan kuasa berkanun atau tempatan.
16. Pengeluaran KWSP Umur 55 Tahun
Apabila mencapai umur 55 tahun, caruman yang diterima di dalam Akaun 1 dan Akaun 2 anda akan digabungkan ke dalam Akaun 55.
Anda boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian daripada simpanan dari akaun ini pada bila-bila masa.
Sekiranya anda memilih untuk terus bekerja selepas umur 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas yang hanya boleh dikeluarkan apabila anda mencapai umur 60 tahun.
17. Pengeluaran KWSP Umur 60 Tahun
Pengeluaran ini adalah lanjutan daripada pengeluaran umur 55 tahun, kepada ahli yang memilih untuk melanjutkan umur persaraan dan sambung bekerja selepas umur 55 tahun.
Apabila ahli yang diatas berumur 60 tahun, kesemua simpanan yang terkumpul dalam Akaun 55 (jika ada) dan Akaun Emas mereka akan digabungkan untuk pengeluaran.
Pencarum boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sekali gus atau sebahagian pada bila-bila masa untuk membiayai persaraan anda.
Cara Mohon 17 Pengeluaran Khas KWSP
Anda boleh memohon secara manual 17 jenis Pengeluaran Khas KWSP diatas dengan mengisi borang melalui kaunter, kios atau melalui i-Akaun KWSP.
Anda juga boleh memohon pengeluaran secara online melalui i-Akaun KWSP.
Untuk maklumat lengkap berkaitan proses pengeluaran beserta dokumen-dokumen yang diperlukan, anda boleh rujuk maklumat terkini dari laman web KWSP di SINI.