Bantuan Khas Kewangan 2023 Dibayar 17 Jan


Berita baik untuk rakyat Malaysia menjelang tahun baru 2023 yang mendatang tidak lama lagi, Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2023 untuk penjawat awam, sebanyak RM700 untuk 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM350 kepada satu juta pesara kerajaan yang dibayar pada 17 Jan depan.


Semua itu dimaklumkan di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini, menurut mereka pesara kerajaan yang sedang menerima pencen, penerima pencen terbitan atau pesara perkhidmatan awam skim KWSP dan veteran berpencen serta tidak berpencen akan menerima bantuan RM350 pada hari yang sama.


Pihak JPA turut memuat naik surat edaran yang telah ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah, Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Zulkapli Mohamed bertarikh 27 Dis 2022.


Menurut surat pekeliling itu juga, BKK tersebut layak diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan juga Kumpulan Pelaksana yang masih berkhidmat pada 17 Jan 2023 meliputi pegawai lantikan tetap, sementara dan Kontrak Perkhidmatan (COS); pegawai yang bercuti bergaji penuh; pegawai yang bercuti separuh gaji dan pegawai yang bercuti tanpa gaji.


Ia juga layak dibayar kepada pegawai lantikan Malaysia Short-Term Employmen Programme (MySTEP) yang berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan pada 2022 dan masih berkhidmat sebagai MySTEP pada 17 Jan 2023.--Bernama