Perikatan Nasional (PN) sedia untuk melaksanakan penilaian semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, jika mereka berjaya membentuk kerajaan seusai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan kesediaan itu walaupun perkara itu tidak termaktub dalam manifesto gabungan itu.
"Sebelum ini, kita sudah membenarkan beberapa kali pengeluaran KWSP termasuk i-Sinar dan i-Lestari.
"Untuk pelaksanaan ini (pengeluaran KWSP) secara bersasar, kita perlu melihat jumlah simpanan (pencarum) terlebih dahulu.
"Ini kerana, pengeluaran tidak boleh dibuat jika sudah tiada simpanan (dalam KWSP)," katanya ketika sesi sesi 'townhall' Majlis Pelancaran Tawaran PN BEST di sini, malam ini.
Sebelum itu, beliau telah membentangkan tawaran PN yang mengandungi 234 tawaran yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada pilihan raya umum kali ini.
Antara tajuk penting yang menjadi tumpuan adalah ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.-BeritaHarian