Harga Sawit RM4,500 Satu Tan? Ia Dijangka Cecah Harga Tersebut Bulan Ini

PELUANG KERJAYA
0

Diskaun menarik harga minyak sawit mentah (MSM) berbanding harga minyak kacang soya menyokong peningkatan harga MSM, dengan diunjurkan berlegar sekitar RM3,500 hingga RM4,500 satu tan bulan ini, kata penganalisis.


Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, berkata harga MSM di Indonesia meningkat 22 peratus kepada 12,878 rupiah sekilogram (RM3,756 satu tan) pada 2 November 2022 berbanding 10,530 rupiah sekilogram (RM3,201 satu tan) pada 3 Oktober 2022 apabila negara itu berjaya menormalkan inventori sawit pada akhir Ogos.


Beliau berkata, kebimbangan terhadap pengeluaran minyak sawit yang lebih lemah akibat banjir di beberapa kawasan di Kalimantan juga menyokong harga komoditi itu.


Sementara itu, katanya, harga semasa MSM di Malaysia meningkat 21 peratus kepada RM4,190 satu tan dalam tempoh yang sama.


"Kenaikan harga MSM didorong oleh permintaan minyak sawit untuk stok simpanan semula dan sambutan perayaan, berikutan diskaun menarik MSM sebanyak AS$535 satu tan berbanding minyak kacang soya pada 27 Oktober.


"Terdapat juga kebimbangan bahawa pemulihan dalam bekalan minyak sawit mungkin terjejas secara negatif oleh situasi kekurangan buruh yang berterusan di Malaysia dan La Nina," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Mengenai output MSM, Lee Fang berkata, hasil kaji selidik penanam oleh pasukan CGS-CIMB Futures menunjukkan output MSM Malaysia dijangka meningkat 3.2 peratus dari bulan ke bulan dan 5.8 peratus tahun ke tahun kepada 1.83 juta tan pada Oktober 2022 berikutan faktor bermusim.


Beliau berkata, berdasarkan rekod sejarah, September dan Oktober adalah bulan pengeluaran puncak untuk minyak sawit Malaysia.


Sementara itu, katanya, eksport minyak sawit Malaysia berkemungkinan meningkat 7.4 peratus bulan ke bulan dan 7.6 peratus tahun ke tahun kepada 1.53 juta tan pada Oktober, berdasarkan statistik eksport oleh juru ukur kargo Intertek (lima peratus bulan ke bulan), SGS (5.5 peratus) dan Amspec Malaysia (11.7 peratus bulan ke bulan).


Jelasnya, pengukuhan eksport minyak sawit Malaysia itu mungkin disebabkan oleh diskaun harga MSM yang menarik berbanding minyak kacang soya.


"Kami menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia mungkin meningkat 7.5 peratus bulan ke bulan dan 35.7 peratus tahun ke tahun kepada 2.49 juta tan pada akhir Oktober 2022, paras tertinggi sejak April 2019, berikutan pemulihan output.


"Unjuran kami sebanyak 2.49 juta tan stok minyak sawit bagi Oktober 2022 di Malaysia adalah 15 peratus di atas paras purata 10 tahun Oktober yang bersejarah sebanyak 2.16 juta tan. Angka rasmi akan dikeluarkan pada 10 November ini," katanya.- BeritaHarian


Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !