Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra
Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Hariza Hashim, berkata kadar faedah yang akan
dikenakan buat masa ini kepada peminjam, terutama bagi golongan B40 dilihat
sangat tinggi, Tambahan pula harga rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) masih
mahal serta di luar kemampuan mereka.
Menurut beliau, golongan tersebut perlu diberi
bantuan kewangan atau diberi pengurangan kadar faedah pinjaman atau sebaiknya,
juga diberi kemudahan kadar faedah bebas untuk memudahkan mereka memiliki
rumah.
“Kerajaan juga perlu memperluaskan skim Rumah Sewa
Untuk Beli (RTO) bagi unit rumah tidak menerusi bantuan kewangan atau pinjaman,
dengan kadar faedah lebih rendah kepada individu yang berminat membeli unit
rumah tidak terjual.
“Banyak rumah tidak terjual seperti dilaporkan pada
Julai lalu, ,35,592 unit rumah termasuk lebih 10,000 unit rumah Projek
Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang tidak terjual.
“Maka, konsep RTO wajar diperluaskan untuk rumah yang
tidak terjual ini kerana ia sudah dalam pasaran, sekali gus dapat membantu atau
menawarkan pengurangan beban kewangan kepada pemaju,” katanya sambil menambah
kerajaan juga perlu memberi insentif khas kepada pemaju yang mengamalkan skim
RTO.
Sementara itu, Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi
Islinda, Datuk Nazri Mustafa, menyarankan kerajaan mengawal harga rumah serta
bahan binaan.
Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT) perlu membuat penilaian sendiri terhadap sesuatu projek
perumahan, dengan memastikan harga jualan rumah daripada pemaju mengikut
pasaran sebenar sebelum memberi kelulusan kepada pemaju.
“Ini kerana ada amalan rebat oleh pihak pemaju yang
diberikan kepada pembeli untuk memastikan jumlah pembiayaan dapat diperoleh
lebih daripada harga jualan rumah sebenar.
“Namun, situasi ini menjadikan ansuran bulanan lebih
tinggi berbanding harga asal sehingga ada unit yang baru disiapkan sudah pun
tersenarai untuk dilelong,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya KPKT mengehadkan
kelulusan projek perumahan untuk mengurangkan penawaran berlebihan, sekali gus
mengurangkan jumlah unit rumah tidak terjual di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Max Capital
Management Holdings Ltd, Max Shangkar, pula berkata, kerajaan boleh
memperuntukkan bajet dalam program perumahan dengan memfokus penyediaan rumah
bagi rakyat yang tidak mempunyai rumah atau mereka yang menyewa rumah.
“Ini boleh dicapai dengan kerjasama antara pemilik
tanah atau pemaju untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, yang berkualiti
di lokasi yang sesuai.
“Malah, dengan belanjawan sedia ada, kerajaan boleh
memudahkan proses rakyat untuk membeli atau menyewa rumah.
“Contohnya, kerajaan melaksanakan program membantu
golongan B40 yang membeli rumah pertama tanpa wang pendahuluan. Bantuan
kewangan juga boleh dihulurkan kepada golongan yang memerlukan untuk membeli
atau menyewa rumah,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan khususnya KPKT untuk
memanfaatkan serta menambah baik inisiatif sedia ada bagi meningkatkan kualiti
perumahan di negara ini menerusi Bajet 2023.