Kerajaan digesa membenarkan sekali lagi pengeluaran
khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada Bajet 2023
yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Rayuan itu turut diluahkan melalui media sosial milik
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata,
masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan meskipun terdapat
tentangan daripada segelintir pihak.
“Kerajaan sewajarnya memberi tumpuan untuk menambah
jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan menjadikannya lebih berkala dan
bukan secara one-off.
“Selain itu, pemberian baucar elektronik (e-baucar)
di bawah kaedah muqassah kepada semua isi rumah B40 juga mampu membantu rakyat
di mana ia boleh ditukar dengan barangan keperluan asas setiap bulan.
“Peniaga akan mengumpul e-baucar ini dan menebus
dengan kerajaan melalui pengurangan pembayaran cukai korporat.
“Kelebihan e-baucar berbanding bantuan tunai seperti
sekarang ialah dapat memastikan bantuan tersebut tidak digunakan untuk maksud
lain dan kerajaan tidak perlu menambah hutang untuk memberi bantuan tunai
kerana menggunakan konsep muqassah,” ujarnya. – UTUSAN