Bajet 2023 akan dibentangkan semula sebelum akhir
tahun ini, berikut kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, bajet berkenaan perlu dibentang
semula memandangkan pembubaraan Parlimen yang dibuat sebelum ia dibahas dan
diluluskan.
"Kita dah umum bajet, macam-macam yang kita nak
bagi kepada rakyat terutama orang kampung.
"Tetapi kita belum luluskan lagi, kita kena
bentang dulu dan akan bentang sekali lagi sebelum akhir tahun ini,"
katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama peserta
Felcra Berhad, pekebun kecil RISDA dan Tok Batin/Penghulu Orang Asli di Arena
Merdeka dekat sini pada Isnin.
Ismail Sabri memberi keyakinan, semua intipati dalam
bajet berkenaan akan diluluskan dan dilaksanakan sekiranya mendapat mandat
sekali lagi sebagai kerajaan.
"Kalau orang lain perintah, saya tidak jamin
dapat apa yang dijanjikan. Kalau kita perintah dan saya sekali lagi jadi
Perdana Menteri, Insya-ALLAH semua bajet yang dibentangkan akan kita
luluskan," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan bajet bukan seperti janji
manifesto kerana apabila sudah dibentangkan, bermakna kerajaan telah bersedia
untuk melaksanakannya
"Bajet apabila dibentangkan bermakna duit sudah
tersedia ada, itu bezanya, duit sudah ada cuma tunggu lulus sahaja, apabila dah
lulus, terus boleh dilaksanakan," katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk
Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia,
Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.
Belanjawan itu merangkumi empat teras fokus iaitu
kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan
perkhidmatan kerajaan. Sinarharian