KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam
meminta anaknya yang juga pengarah, Syamsul dan isteri, Puteri Sarah Liyana
segera menjernihkan kemelut yang melanda rumah tangga mereka sejak empat tahun
lalu.
Sebagai bapa, Yusof mengakui dia terkilan dan sedih
dengan perkara itu serta berharap ia dapat diselesaikan dengan cara yang
terbaik.
“Secara peribadi, saya rasa tidak adil jika rumah
tangga mereka berakhir dengan perpisahan. Itu adalah perkara yang amat
menyedihkan dan saya tidak melihat apa-apa kebaikan di situ.
“Saya dan isteri sentiasa mendoakan yang terbaik untuk
mereka, anak-anak dan besan kami. Demi anak-anak dan nama baik keluarga,
selesaikanlah dengan cara yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kemelut rumah tangga pasangan tersebut yang tercetus
gara-gara gangguan orang ketiga, berlanjutan sejak tahun 2019.
PUTERI SARAH
Puteri Sarah pada Jun lalu memfailkan satu tindakan
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor
berhubung gangguan yang diterimanya daripada individu yang didakwa sebagai
kekasih Syamsul, Ira Kazar.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengekalkan perintah
interim injuksi, antara lain memerintahkan Ira agar berhenti mengeluar,
menyebar dan menghantar kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap
Puteri Sarah dalam media sosial.
Ira dalam pada itu sehingga kini mengambil pendekatan
mengunci mulut dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara
tersebut.
YUSOF HASLAM
Dalam pada itu, Yusof juga berharap Syamsul dan Puteri
Sarah tampil menyelesaikan perkara ini dan tidak membiarkan ia terus meruncing.
“Saya bangga dengan apa yang dicapai Syamsul ketika
ini. Saya hormat dia. Cuma saya harap dia tak lupa asal usul.
“Dalam hal rumah tangga, saya minta dia dan Puteri
Sarah perbetulkan keadaan. Saya dan isteri tak mahu melihat mereka bercerai,”
katanya lagi.
Sumber: UTUSAN