Kuala Lumpur: Pengendali akaun @filem_matkilau membalas
hantaran dimuat naik pelakon Datuk Adi Putra di Instagram.
Ia susulan hantaran dimuat naik pelakon utama filem Mat
Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu seolah-olah menyindir pihak penerbitan iaitu
Studio Kembara yang sukar dihubungi.
"Assalamualaikum Dato Hj Adi Putra. Kami memohon maaf
atas segala kesulitan yang berlaku. Pihak Studio Kembara sudah ambil maklum
berkenaan mesej ini. Kami panjangkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan
selanjutnya. Terima Dato Hj Adi Putra," tulisnya.
Meninjau di ruangan komen Instagram Studio Kembara
@studiokembara , kebanyakan pengguna laman sosial itu mahukan mereka menjawab
segera apa yang sudah dibangkitkan Adi.
Dalam masa sama, timbul pula persoalan dalam kalangan
warganet apabila kebanyakan aktiviti dibuat pihak penerbitan tidak membabitkan
pelakon filem berkenaan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Adi meminta menghubungi
pihak penerbitan bagi menjawab sendiri hantaran yang dimuat naik itu.
Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt
Dali pula ketika dihubungi berkata, dia juga baru mengetahui hantaran Adi itu
selepas disampaikan oleh rakannya pada pagi hari ini.
Sumber: Harian Metro