KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku
Zafrul Abdul Aziz perlu memberikan penjelasan berhubung lantikannya sebagai
Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang baharu.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi
Fadzil berkata, Tengku Zafrul perlu menyatakan pendirian kerana sebelum ini
menyatakan tidak terlibat dalam mana-mana parti politik.
Menurutnya, semua pihak bebas berpersatuan seperti
termaktub dalam perlembagaan namun kejujuran seorang pemimpin itu diperhatikan
rakyat.
"Saya ingat beliau rapat dengan Pengerusi Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kalau lantikan
(Bendahari BN Selangor) ini betul, Tengku Zafrul perlu beri penjelasan.
"Jika benar Tengku Zafrul adalah ahli UMNO,
maksudnya beliau sebelum ini tidak bercakap benar," katanya ditemui pada
sidang akhbar bersama Dego Ride berkenaan perkhidmatan e-hailing motosikal di
Pusat Kerja Lembah Pantai pada Selasa..
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas
berhubung lantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor seperti
diumumkan oleh
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar pada Konvensyen
BN negeri di Setia Alam, Ahad lalu.
Ditanya sama ada lantikan itu merupakan satu ancaman
kepada Pakatan Harapan (PH), Fahmi mengucapkan selamat maju jaya kepada Tengku
Zafrul.
"Sama ada beliau akan membantu atau menjadi beban
kepada BN Selangor, itu kita lihat kemudian. Biar pengundi yang tentukan.
"Saya nak ucapkan 'all the best', kalau nak pergi
ke Kuala Selangor, mungkin beliau boleh kayuh basikal mahalnya ke sana,"
katanya.
Sumber: sinar harian