KUALA LUMPUR: Sebanyak 350,000 tablet jenama Samsung akan
mula diagihkan secara percuma kepada pelajar B40 di bawah program PerantiSiswa
mulai bulan ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata,
proses perolehan peranti itu yang dibuka semula menerusi tender terbuka selesai
pada akhir bulan lalu.
“Jawatankuasa pemilihan telah memilih jenama Samsung yang
memperolehi tawaran terbuka melibatkan lima pembekal bagi lima zon berbeza,
iaitu Sabah dan Sarawak, Utara, Tengah, Timur serta Selatan,” katanya di Dewan
Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS
Sibuti) berhubung status pemberian tablet melalui program PerantiSiswa dan
jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar B40.
Pada 19 Julai lalu, Annuar dilaporkan berkata, kerajaan akan
membuka semula permohonan gajet percuma di bawah inisiatif Program PerantiSiswa
selama 60 hari mulai 1 Ogos hingga September.
Beliau berkata, permohonan itu membabitkan pelajar B40 yang
akan memasuki institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.
Kerajaan turut bersetuju memperluaskan kelayakan bagi
pemohon yang memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi di
bawah Kementerian Pendidikan berbanding hanya pelajar institusi pengajian
tinggi awam dan swasta sebelum ini.
Dalam pada itu, Annuar berkata, kelayakan bagi pemohon turut
diperluaskan kepada pelajar program asasi, matrikulasi, semester satu dan dua
di sekolah menengah yang dahulu dikenali sebagai Tingkatan 6 di bawah
Kementerian Pengajian Tinggi.
Katanya, pelajar diploma di kolej vokasional juga boleh
memohon di bawah program itu.
“Permohonan ini dibuka sehingga 30 Sept bagi mereka yang
belum buat permohonan.”
Beliau berkata, bagi memastikan tiada yang tercicir, proses
rayuan dibuka kepada 40% pemohon yang tidak berjaya.
Sumber: freemalaysiatoday.com