Birmingham: Kontinjen Malaysia meraih emas ketiga pada
temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, sebentar tadi, selepas skuad negara
memenangi acara berpasukan campuran.
Pada saingan final di National Exhibition Center (NEC),
skuad negara tampil bergaya menumpaskan India dalam saingan sengit yang
berkesudahan 3-1 untuk sekali gus menebus kekalahan pada aksi final temasya di
Gold Coast, Australia pada 2018.
Kejayaan itu dalam masa meletakkan Malaysia di landasan
tepat untuk terus memburu sasaran enam emas, selepas atlet angkat berat Mohamad
Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin menghadiahkannya menerusi kategori 55
kilogram (kg) dan 61kg.
Dalam aksi final ini, Malaysia mendapat mata pertama
menerusi beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Satwiksairaj
Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-15.
India kemudian menyamakan kedudukan menerusi
perseorangan wanita, PV Sindhu yang menundukkan Goh Jin Wei 22-20 dan 21-17.
Pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong kembali
meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan tiga set ke atas K Srikath
21-19, 6-21, 21-16.
Pada perlawanan keempat, beregu wanita, M
Thinaah-Pearly Tan, membuktikan keunggulan mereka apabila menundukkan Jolly
Treesa-Gayatri Pullela, 21-18, 21-17 untuk memastikan Malaysia bergelar juara
dan sekali gus merangkul emas pertama sukan badminton di temasya Sukan Komanwel
2022.
Terdahulu di peringkat separuh akhir Malaysia
menewaskan England, 3-0 manakala India menjinakkan Singapura dengan keputusan
sama.
Pada temasya di Gold Coast, Australia, empat tahun lalu
pasukan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada India
1-3.
Esok saingan individu pula akan bermula dengan pasukan
negara berharap dapat meraih pingat lagi termasuk emas.
Sumber: Harian Metro