KUALA LUMPUR: Pelaksanaan empat program pengeluaran Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkaitan COVID-19, iaitu i-Lestari, i-Sinar,
i-Citra, dan Pengeluaran Khas, menyebabkan simpanan ahli menjadi rendah, dan
sangat membimbangkan.
Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata,
impak program-program berkaitan COVID-19 tersebut ke atas simpanan ahli adalah
dianggarkan sebanyak RM155 bilion.
Daripada jumlah tersebut, beliau berkata, RM145 bilion
adalah pengeluaran ahli, manakala hampir RM10 bilion lagi adalah program
pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerjaan.
“Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, setakat 30 Jun
2022, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan
ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada
RM10,000. Daripada bilangan tersebut, 4.99 juta ahli atau 75 peratus adalah
ahli Bumiputera.
“Pada masa yang sama, terdapat seramai 3.20 juta ahli
berumur di bawah 55 tahun yang berada pada tahap simpanan yang amat kritikal
iaitu kurang daripada RM1,000 di mana 2.58 juta ahli atau 81 peratus daripada
mereka adalah ahli Bumiputera,” katanya lagi sewaktu persidangan Dewan Negara
pada Isnin.
Sebagai perbandingan relatif, Mohd Shahar berkata, jumlah
ahli Bumiputera iaitu seramai 8.22 juta orang adalah merupakan 64 peratus
daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun.
Keadaan tersebut, jelas Ahli Parlimen Paya Besar itu lagi,
menunjukkan kebanyakan ahli bumiputera adalah tertumpu dalam kalangan ahli yang
mempunyai tahap simpanan KWSP yang rendah berbanding kaum-kaum lain.
Bagi membantu ahli menambah dan membina kembali simpanan
persaraan mereka, beliau berkata, KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk
memudahkan ahli mencarum ke dalam KWSP.
Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, katanya lagi,
mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer
pekerja iaitu 11% pada bila-bila masa.
Selain itu, mereka juga boleh mencarum sendiri pada
bila-bila masa tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000 setahun.
Bagi ahli yang bekerja sendiri pula, jelasnya lagi, tiada
pendapatan tetap atau di luar tenaga buruh seperti pelajar dan suri rumah yang
berumur di bawah 60 tahun turut boleh memilih untuk mencarum secara sukarela,
pada bila-bila masa mengikut kemampuan di bawah Program i-Saraan sehingga
RM60,000 setahun.
“Sebagai insentif untuk menggalakkan golongan ini menyimpan
di bawah i-Saraan, Kerajaan memberikan sumbangan sebanyak 15% daripada jumlah
caruman, atau sehingga RM250 setahun,” kata Mohd Shahar.
Bagi Ketua Isi Rumah (KIR) atau isteri kepada KIR yang
berumur di bawah 55 tahun dan berdaftar di bawah pengkalan data eKasih, Mohd
Shahar berkata, mereka turut boleh mencarum secara sukarela di bawah Program
Kasih Suri Keluarga Malaysia
“Di bawah program ini, ahli yang mencarum sekurang-kurangnya
RM5 sebulan atau RM60 setahun adalah layak untuk menerima insentif daripada
Kerajaan sebanyak RM40 sebulan atau RM480 setahun ke dalam akaun KWSP mereka.
“KWSP juga menitikberatkan kepentingan ke atas kesedaran dan
pengetahuan mengenai perancangan kewangan dan persaraan dalam menyeimbangkan
keperluan kewangan untuk hari ini dan kepentingan persaraan pada masa hadapan,”
katanya lagi.
Sumber: astroawani