Pertembungan dinantikan sebahagian peminat bola sepak
Malaysia di Liga Super Malaysia 2022 kini kunjung tiba dengan JDT &
Terengganu bertembung ketika kedua-dua pasukan dalam kemuncak prestasi.
Pertahanan kental Johor Darul Ta’zim (JDT) kelahiran Perth,
Australia, Shane Lowry menzahirkan perasaan risaunya dengan kelincahan Faisal
Halim & Faiz Nasir.
Walaupun keberadaan Faisal Halim dalam perlawanan menentang
JDT malam ini tidak dapat dipastikan, Shane Lowry tetap mahu pemain JDT
berwaspada dan berhati-hati dengan segala kemungkinan.
“..saya tidak berapa pasti sama ada Tcheche dan Petrus
bermain atau tidak selepas mereka mengalami kecederaan pada pertembungan
separuh akhir Piala FA tapi kami perlu bersedia kerana kedua-dua pemain mungkin
akan diturunkan bertemu JDT dan mampu menggugat benteng pertahanan.
“Apapun, saya tidak nafikan Terengganu amat kebal di laman
sendiri dan turut dibarisi pemain hebat selain mendapat sokongan padu daripada
penyokong dan sudah tentu ia bakal menjanjikan perlawanan menarik dan pastinya
ramai peminat melabelkan perlawanan itu nanti ibarat pra-final Piala FA.
“..kami akan bersedia dengan perancangan yang lebih kukuh
oleh jurulatih dan akan turun dengan keyakinan tinggi dengan berbekalkan
motivasi tinggi selepas mempamerkan aksi konsisten pada dua perlawanan lalu,”
katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.
“Kami juga harus berwaspada dengan kelincahan dua pemain
sayap kiri dan kanan Terengganu iaitu Faisal Halim dan Faiz Nasir yang begitu
pantas dan bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti,” tambahnya lagi.
Terengganu dan JDT bakal berentap malam ini (10 Oktober
2022) jam 9.00 malam di Gong Badak, Terengganu untuk saingan Liga Super
Malaysia 2022.
Sumber: makanbola.com