KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Elyana membuat keputusan
untuk tidak menjelaskan lebih lanjut kepada umum tentang keputusannya untuk
tidak lagi memakai hijab.
Namun penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu memaklumkan dia
sudah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan itu dan berharap agar
orang ramai mendoakan perkara yang baik buat dirinya.
“Saya sudah fikir semasak-masaknya. Inilah saya. Terima
kasih kepada semua yang mendoakan selama ini. Jika anda masih lagi mahu
mendoakan saya, saya harap doa yang baik itu berbalik kepada anda.
“Baik buruknya, saya yang akan tanggung. Jika anda boleh
terima diri saya, Alhamdulillah. Jika tak boleh, saya tidak dapat berbuat
apa-apa kerana inilah saya,” katanya.
Elyana berkata demikian ketika ditemui pada Program Semarak
Uniti Keluarga Malaysia di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan
Malaysia (MAHA), di sini hari ini.
Elyana sebelum ini menerima kecaman dan tohmahan netizen
selepas sekeping fotonya tidak berhijab tular di media sosial.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 35 tahun itu turut memaklumkan
bahawa dia enggan mengambil pusing kecaman netizen dan menganggap tiada
keperluan untuk dirinya menerangkan kepada golongan itu yang tidak memahami dan
akan sentiasa memandang negatif bagi setiap tindak tanduknya.
“Saya mengambil keputusan untuk tidak menjelaskan apa-apa
kerana mereka (netizen) tidak ingin penjelasan daripada saya. Selagi saya
menjelaskan, selagi itu macam-macam cerita tidak masuk akal yang akan timbul.
“Jadi, demi menjaga tatasusila, jiwa, persekitaran saya,
saya mengambil keputusan untuk tidak menerangkan apa-apa kepada mereka yang
langsung tidak mahu memahami,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Elyana juga memberitahu dia sudah penat
menjaga hati orang lain dan kini akan lebih fokus terhadap perasaan dan jiwa
sendiri.
“Dalam hidup saya tidak pernah rasa penyesalan. Cuma apa
yang boleh saya katakan, setiap hari saya impikan kehidupan yang baik untuk
jiwa saya.
“Sebelum ini saya hanya mementingkan jiwa dan hati orang
sehinggakan saya terlupa tentang diri saya. Jadi, sekarang ini saya akan buat
apa yang saya terfikir nak buat,” ujarnya.
Sumber: UTUSAN