SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak mengakui tidak berasa malu untuk menyatakan dirinya benar- benar terdesak
kini berikutan tidak dapat mempertahankan diri dengan adil selepas permintaan
peguam belanya Hisyam Teh Poh Teik untuk mengecualikan diri ditolak Mahkamah
Persekutuan.
“Saya tidak malu untuk menyatakan, saya terdesak.
“Saya kini berada dalam situasi di mana hak untuk
mendapatkan peguam dan perbicaraan yang adil cuma ilusi.
“Ini kerana saya membuat keputusan yang difikir adalah untuk
kepentingan terbaik pada masa itu,” katanya dalam catatan di laman Facebook
pada Khamis.
Najib menjelaskan bukan niatnya untuk menangguhkan proses
mahkamah.
“Bukan niat saya untuk melengah-lengahkan proses mahkamah
tetapi kerana permohonan Peguam Diraja dari United Kingdom (UK) Jonathan James
Laidlaw akhirnya ditolak kurang dari sebulan sebelum tarikh yang dijadualkan.
“Justeru keperluan untuk penglibatan peguam baru muncul
secara tiba-tiba. Mana-mana pasukan baru yang membawa idea baru memerlukan
masa,” katanya.
Menurut Najib, penemuan keterangan yang berkaitan dengan
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerlukan peguam baru untuk tampil meneliti
secara bebas dakwaan itu dan mengemukakan di hadapan Mahkamah tersebut dalam
keadaan yang paling tidak berat sebelah.
“Malangnya, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk
menjadi peguam saya.
“Dengan penolakan Mahkamah Tinggi dan rayuan ini telah
ditetapkan, saya tidak boleh menghadapi risiko penolakan Laidlaw dikekalkan
semasa rayuan, menyebabkan saya tiada peguam tambahan yang pada masa ini adalah
penting untuk berhujah secara bebas mengenai isu berkenaan hakim Nazlan,”
ujarnya.
Jelas Najib lagi, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang pernah
menghubungi dirinya suatu masa dahulu, berkata beliau boleh membawa masuk
kepakaran undang-undang dari India melalui rakan kongsinya dari Singapura, Niru
Pillai.
“Saya kemudiannya diperkenalkan kepada dua peguam kanan dari
India, yang pada mulanya menarik perhatian saya dengan idea mereka.
“Akhirnya, mereka melakukan kerja belakang tabir manakala
firma Zaid memudahkan proses mahkamah.
“Zaid dan pasukannya datang dengan syarat, pengambilan
mereka mesti termasuk firmanya diletakkan sebagai peguam cara dalam rekod dan
peguam tempatan yang baru akan menyertainya,” jelasnya.
Sumber: sinarharian