KUCHING, 4 Ogos : Sarawak kekal dengan keputusan untuk
tidak menerima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berdepan tindakan
tatatertib untuk dihantar bertugas di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari
Tun Openg berkata, pendirian kerajaan negeri telah dinyatakan semalam oleh
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Maka itulah pendirian Kerajaan Sarawak, dalam
kenyataan itu sudah jelas,”katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis
Perasmian Muzium Limbang hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas polemik yang
timbul ekoran cadangan untuk menghantar sembilan orang anggota PDRM yang
terlibat dengan kes salah laku untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis
Selangor, Dato S Sasikala Devi seperti dilaporkan sebuah akhbar pada Selasa
lepas.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, Ketua Polis Negara,
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum bantahan
oleh kerajaan di kedua – dua negeri dan akan mengkaji semula keputusan itu.
Sumber: TVS