Lahad Datu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hari ini memohon
maaf kepada keluarga pesakit berhubung insiden pesakit diberi ubat yang salah
oleh pegawai perubatan semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda
Sahabat, dekat sini, baru-baru ini.
Pengarahnya Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, berdasarkan
siasatan, terdapat kelemahan komunikasi antara pegawai perubatan yang
memberikan rawatan kepada pesakit berkenaan.
"Pegawai perubatan terbabit melihat buku rawatan yang
dibawa oleh pesakit ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat, yang mana pesakit
mempunyai rekod diberi ubat kencing manis.
"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesyaki buku rawatan
yang dibawa pesakit bercampur dengan buku rawatan isteri pesakit, ini
menimbulkan kekeliruan kepada pegawai perubatan berkenaan yang meneruskan
pemberian ubat kencing manis kepada pesakit.
"Mengikut rekod, pesakit sebenarnya mempunyai sejarah
perubatan penyakit darah tinggi dan pembengkakan kalenjar prostat,"
katanya dalam kenyataan di sini.
Dr Rose Nani berkata, sepatutnya pegawai perubatan
memberikan penerangan kepada pesakit dan keluarga pesakit tentang status
penyakit yang dihidapi serta jenis ubat yang diberikan.
"Sekiranya proses penerangan dilaksanakan sudah tentu
kekeliruan dapat dielakkan," katanya lagi.
Justeru, katanya, pihaknya akan memastikan pegawai perubatan
yang bertugas di kawasan pedalaman di negeri itu agar mendapatkan latihan
secara berkala berkaitan merawat pesakit termasuk komunikasi berkesan.
Sumber: Harian Metro