KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah
Munirah Majilis meminta kerajaan Persekutuan supaya tidak menjadikan Sabah dan
Sarawak sebagai 'tong sampah' dengan 'membuang' penjawat awam bermasalah ke dua
negeri berkenaan.
Dalam hantaran beliau di laman Facebook rasminya,
beliau dengan nada kesal mengatakan Sabah dan Sarawak tertinggal dari segi
kemudahan malah penjawat awam bermasalah juga dihantar ke negeri itu.
"Tolonglah Federal (Persekutuan), Sabah Sarawak
bukannya tong sampah.
"Sudahlah kami tertinggal dari segi infrastruktur,
takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi (beri) kami orang yang
bermasalah," tulisnya pada Selasa.
Tambah beliau lagi, Sabah mungkin tidak akan maju jika
dilayan sedemikian.
"Sampai bila kami mahu maju? Berhenti layan kami
seperti ini," katanya.
Sebelum itu, dalam hantarannya itu turut dikongsikan
pautan berita Sinar Harian melaporkan sembilan anggota polis terlibat kes peras
ugut ditukar ke Sabah dan Sarawak.
Sembilan anggota berkenaan disiasat selepas dipercayai
terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor dan perkara
itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sakikala Devi
menerusi sesi wawancara khas Sinar Harian yang diadakan di Studio F, Kumpulan
Karangkraf pada Selasa.
Sumber: Sinar Harian