Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan rakyat
Malaysia yang ditahan polis Indonesia selepas disyaki terbabit memproses syabu
adalah bekas anggota PDRM.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner Skandaguru
Anandan berkata, pihaknya mengesan sebaran klip video diambil dari berita
Indonesia mengenai tangkapan seorang warga Malaysia oleh Badan Narkotika
Nasional (BNN) Indonesia.
Mengikut laporan, katanya, suspek yang didakwa bekas warga
PDRM disyaki terbabit kes makmal memproses syabu di Sukajadi, Batam, Indonesia.
"Semakan mendapati suspek tidak pernah berkhidmat
sebagai polis, sukarelawan atau polis bantuan.
"Rekod turut mengesahkan suspek terbabit mempunyai dua
rekod jenayah lampau berkaitan ugutan kekerasan dan menyamar sebagai
polis," katanya dalam kenyataan malam ini.
Selain itu, beliau berkata, polis sedang bekerjasama dengan
pihak berkuasa Indonesia berhubung kes itu dan bersedia menyalurkan maklumat
diperlukan dalam usaha membanteras jenayah narkotik.
Sumber: Harian Metro