BERGELAR sebagai seorang penerima Program Penajaan
Pendidikan PETRONAS (PESP) umpama rezeki yang mesti digenggam dan dimanfaatkan
sebaik mungkin kerana bukan mudah untuk menjadi antara penerima biasiswa itu.
Seseorang itu bukan sahaja perlu cemerlang dari segi
akademik, malah beberapa aspek lain turut diambil kira termasuk kepimpinan,
pembabitan dalam kokurikulum dan beberapa pencapaian lain sebelum membolehkan
mereka dianugerahkan dengan tajaan pendidikan PESP.
Turut berkongsi pengalamannya sebagai antara penerima PESP
ialah Annie Lin Lee Joo, 22, yang kini melanjutkan pengajian di peringkat
ijazah sarjana muda di University of Manchester, United Kingdom.
Menurut Annie yang juga anak kelahiran Tawau, Sabah, tawaran
PESP ibarat langkah kanan untuk beliau melanjutkan pengajian ke peringkat
siswazah sekali gus merealisasikan impiannya untuk belajar di luar negara sejak
kecil.
"Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM), saya membuat carian di internet mengenai organisasi yang menawarkan
biasiswa kepada pelajar lepasan SPM dan akhirnya menemui PESP sebagai salah
satu daripadanya," katanya.
Bapanya, Lin Hyen Thau, 76 yang mengusahakan perniagaan
kecil-kecilan bersama isteri, Maria Panggala, 54 turut meluahkan rasa syukur
serta berbesar hati dengan biasiswa yang diberikan kepada anak meraka.
"Kami sangat gembira dan bersyukur atas rezeki yang
diberikan kepada anak kami, Annie. Setahu kami, bukan mudah dan tidak semua
pelajar mendapat peluang untuk menerima tajaan PETRONAS.
"Apabila mendengar dia terpilih untuk menerima tajaan
berkenaan, kami berterima kasih atas kesempatan yang diberikan oleh pihak
PETRONAS yang membolehkan anak kami menyambung pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi di luar negara.
"Kami juga bangga dengan pencapaian diperolehi atas
hasil usahanya selama ini kerana dia selalu mencuba yang terbaik dalam setiap
perkara dilakukan. Kami percaya dengan peluang ini, Annie dapat mengembangkan
bakat serta jati diri untuk mencapai impiannya," kata Lin.
Sementara itu, Annie tidak lokek berkongsi mengenai program
ini yang menawarkan tajaan penuh untuk membiayai pelajarannya bermula daripada
peringkat A-Level hingga peringkat Ijazah serta menawarkan program pembangunan
keupayaan untuk pelajar secara komprehensif.
"Setelah tamat
SPM, saya mengambil A-Level di Kolej Yayasan UEM dan seterusnya melanjutkan
pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan Perakaunan dan
Kewangan di University of Manchester, United Kingdom," katanya.
Kini, beliau telah tamat tahun kedua dan akan memasuki tahun
ketiga tidak lama lagi.
Ditanya mengenai pengalaman belajar di luar negara, Annie
berkata, pengalaman tahun pertama pengajian agak berbeza berbanding pelajar
sebelumnya kerana terpaksa berdepan dengan ancaman COVID-19.
"Saya perlu belajar secara dalam talian dan pergerakan
untuk ke luar rumah juga terhad. Di tahun kedua baru saya dapat menghadiri
kelas secara fizikal dan berkomunikasi dengan kawan baharu di samping mengenali
budaya mereka dengan lebih mendalam," katanya.
"Selain itu, saya banyak menyesuaikan diri dengan
budaya luar malah saya dapat bertemu dengan rakan baharu dari seluruh dunia
seterusnya dapat mempelajari budaya dan tradisi mereka" katanya.
Ringankan beban keluarga
Berpegang kepada prinsip 'yang bulat tidak datang bergolek,
yang pipih tidak datang melayang', seorang lagi pelajar tajaan PESP, Nur Amirah
Mamat, 23, tekad mengejar impiannya dengan sentiasa meletakkan sasaran yang
tinggi bagi diri sendiri dan berusaha gigih untuk mencapainya.
Menurut Amirah, melihat dirinya membesar dalam keadaan
keluarga kurang berkemampuan dengan bilangan adik beradik yang ramai membuatkan
beliau tekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membalas jasa kedua
ibu bapanya.
"Demi meringankan beban keluarga dan melayakkan diri
saya untuk mendapat biasiswa, saya berusaha lebih gigih dalam pelajaran saya.
"Alhamdulillah, berkat usaha, sokongan dan doa daripada
ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan, saya berjaya mendapat keputusan yang
cemerlang dalam SPM dan mendapat tajaan PETRONAS untuk melanjutkan pelajaran di
Australia," katanya.
Dalam pada itu, Amirah menyatakan beliau sangat gembira dan
bersyukur kerana ini adalah satu peluang yang sangat baik untuk mencapai
impiannya selama ini.
Menurut Amirah, ibunya, Ruhana binti Ismail, 50 turut teruja
dan berkongsi berita gembira ini dengan keluarga besarnya yang lain.
"Mereka sangat teruja dan bangga dengan pencapaian diri
saya kerana saya adalah satu-satunya ahli keluarga yang berpeluang untuk
melanjutkan pengajian ke luar negara di bawah tajaan PETRONAS," katanya.
Amirah yang juga anak jati Terengganu, kini bertungkus lumus
menamatkan pengajian tahun akhir kejuruteraan kimia di University of Sydney.
Berkongsi lanjut mengenai PESP, Amirah berkata PESP bukan
sahaja membiayai pengajian tetapi turut menyediakan platform dan berbagai
program untuk mempersiapkan diri pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan.
"Ini termasuklah program jati diri, sesi perkongsian
bersama alumni PESP dan taklimat kerjaya.
"Tidak cukup dengan itu, setiap tahun PETRONAS akan
mengadakan sesi perjumpaan dengan pelajar tajaannya bagi mengikuti perkembangan
semasa dan berkongsi maklumat mengenai laluan kerjaya bersama PETRONAS kelak.
"Dengan adanya program sebegini, saya sedikit sebanyak
dapat mencorak hala tuju saya selepas tamat belajar di universiti,"
katanya.
Sementara itu, Amirah turut memuji peranan pegawai PESP yang
sangat mesra dan prihatin terhadap pelajar di luar negara.
"Mereka sentiasa bertanya khabar tentang situasi semasa
pelajar di sini terutama ketika negara dilanda banjir dan COVID-19. Selain itu,
mereka juga kerap menghubungi pelajar melalui e-mel untuk menilai tahap
kesihatan mental pelajar di sini dan menyediakan perkhidmatan kaunseling sekiranya
diperlukan," katanya.
Komitmen PETRONAS
Sejak 1975, PETRONAS menganugerahkan tajaan pendidikan
kepada lebih 37,000 pelajar yang layak dengan pencapaian akademik dan keupayaan
kepimpinan yang tinggi.
Komitmen PETRONAS untuk berbakti kepada negara bukan sekadar
dalam bentuk sumbangan kewangan semata-mata, malah juga merentasi pelbagai
perkara demi manfaat kepada masyarakat, termasuk peluang pendidikan dan
pekerjaan dan pembangunan industri sampingan.
PETRONAS terus komited menyumbang kepada masyarakat,
terutama dalam bidang pendidikan sebagai teras utama, dengan mengambil kira
keterangkuman jantina bagi membuka peluang yang seimbang untuk generasi kini
dan akan datang.
Sesiapa sahaja yang menepati kriteria di lokasi PETRONAS
beroperasi berpeluang menerima manfaat daripada sumbangan yang diberikan dan
tidak hanya terhad kepada rakyat tempatan.
Sumber: Berita Harian